PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensasarkan 70 peratus pengundi akan menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, SPR menyeru semua pihak termasuk media dan parti-parti politik agar turut mengambil langkah menyeru dan menggalakkan pengundi keluar mengundi.
Bagi tujuan itu SPR akan melaksanakan kempen ‘Jom Kita Undi’ melalui pelbagai saluran media termasuk di media elektronik, media sosial, media cetak, hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi-lokasi strategik seperti tempat tumpuan awam, hentian bas dan lain-lain lagi.
“SPR juga akan meneruskan penambahbaikan seperti menyediakan saluran khusus bagi pengundi yang berumur 60 tahun dan ke atas di setiap pusat mengundi.
“Kita juga menyediakan kemudahan kepada pengundi Orang Kurang Upaya (OKU) yang akan mengundi di saluran satu.
“Pada PRK ini seramai 304 pengundi OKU telah dikenal pasti dan metreka adalah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya pada sidang media pengumuman PRK Parlimen (P185) Batu Sapi, Sabah, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Ghani memaklumkan, SPR akan memanjangkan tempoh masa pengundian selama 30 minit iaitu bermula dari pukul 7.30 pagi hingga pukul 5.30 petang berbanding sehingga jam 5 petang pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, baru-baru ini.
PRK Batu Sapi diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen itu susulan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lalu akibat jangkitan paru-paru.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Vui Keong yang mewakili Parti Warisan Sabah berjaya memenangi kerusi Parlimen Batu Sapi dengan majoriti 4,619 undi dalam pertandingan empat penjuru.
PRK Batu Sapi adalah PRK ke-13 selepas PRU-14 pada 9 Mei 2018.
Selain itu, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah diadakan pada bulan lalu.
Batu Sapi terletak dalam daerah Sandakan di Sabah. – MalaysiaGazette