Home Politik Anwar serah dokumen sahih, dakwa terima sokongan lebih 120 ahli Parlimen

Anwar serah dokumen sahih, dakwa terima sokongan lebih 120 ahli Parlimen

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahimpada sidang media selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa beliau telah mempersembahkan dokumen sahih sokongan majoriti ahli Parlimen yang diperolehinya kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), di Istana Negara, pagi tadi.

Menurutnya, dokumen itu berbentuk akuan bersumpah dan pengesahan ketua-ketua parti yang menyatakan sokongan kepada beliau bagi membentuk kerajaan baharu.

“Sebagaimana yang saya janjikan pada sidang akhbar 23 September lalu telah saya tunaikan hari ini dengan mempersembahkan dokumen sahih mengenai majoriti kukuh Ahli Parlimen yang menyokong saya kepada YDPA.

“Dokumen sahih itu saya berikan kepada YDPA, ada bentuk akuan bersumpah, ada bentuk pengesahan dokumen ketua-ketua parti.

“Saya mohon semua pihak beri ruang kepada YDPA jalankan tanggungjawab ikut lunas dan Perlembagan serta budi bicara Tuanku untuk menelaah dokumen.

“Dalam satu dua hari ini Tuanku akan memanggil ketua-ketua parti mengesahkan serta mendapatkan input dan pandangan sebaiknya,” katanya padan sidang media pasca menghadap YDPA di Hotel Le Meridien, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Port Dickson itu tiba di Istana Negara kira-kira jam 10.25 pagi tadi bagi menghadap dan mempersembahkan dokumen lengkap sokongan majoriti ahli Parlimen kepadanya untuk membentuk kerajaan baharu.

Bagaimanapun sejam selepas itu, Anwar yang menaiki kenderaan jenis Jaguar berwarna hitam meninggalkan Istana Negara tepat jam 11.28 pagi tadi tanpa berhenti dan menjawab pertanyaan petugas media yang berada di situ sejak jam 8 pagi tadi.

Anwar juga mendakwa setakat ini beliau memperoleh sokongan daripada 120 ahli Parlimen, bagaimanapun senarai lengkap akan didedahkan dalam masa terdekat.

“(Jumlah ahli Parlimen) mencecah lebih 120 ahli Parlimen, tapi oleh kerana YDPA akan memanggil ketua-ketua parti, maka munasabah untuk kita bersabar dan memberi ruang kepada YDPA untuk memutuskan.

“YDPA ada ruang, kita tak tetap waktu dan masa, saya sendiri maklum kepada Tuanku kita akan bersabar dan menggunakan kebijaksanaan dan ruang kepada Tuanku,” katanya.

Dalam perkembagan sama, Anwar mengulangi pendiriannya bahawa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah jatuh dengan penyerahan dokumen sahih kepada YDPA, hari ini.

“Kalau berdasarkan perkembagan tertinggi, saya masih beranggapan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah jatuh,” katanya.

Katanya lagi, sesiapa sahaja dialu-alukan untuk memberi sokongan kepada beliau termasuk ahli-ahli Parlimen veteran daripada UMNO termasuk Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaliegh Tengku Hamzah.

“Ruang ini diberikan kepada semua,” katanya lagi. – MalaysiaGazette