![Confucius_Institute_Troy_University3-700x420](https://staging.malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2020/10/Confucius_Institute_Troy_University3-700x420-1-640x384.jpg)
BEIJING – Universiti Bahasa dan Kebudayaan Beijing (BLCU) telah menubuhkan pasukan petugas untuk mengetahui punca kematian wakilnya yang dihantar ke Confucius Institute, Webster University di Amerika Syarikat (AS), menurut kenyataannya.
Liu Qiang, seorang guru di fakulti pengajian asing BLCU, telah bekerja sebagai wakil BLCU di institut berkenaan sejak Januari 2019 di St Louis, Missouri, kata universiti tersebut.
“Kami sangat sedih dengan kematian Liu dan mengucapkan takziah kepada anggota keluarganya,” kata BLCU, sambil menambah bahawa universiti itu memantau kes tersebut dan akan menghantar wakil ke AS.
Universiti tersebut telah mendesak polis di daerah St Louis untuk mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai kematian Liu dan terus berhubung rapat dengan Jeneral Konsulat China di Chicago dan Webster University.
Kenyataan itu menambah, kes itu sedang disiasat dan meminta orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak berasas.
Menurut akhbar tempatan St Louis Post-Dispatch, Liu meninggal dunia setelah polis dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menggeledah kediamannya pada hari Selasa untuk siasatan pornografi kanak-kanak.
Universiti itu mendakwa ia tidak mempunyai bukti atau alasan untuk mempercayai bahawa siasatan ke atas kematian Liu ada kaitan dengan Confucius Institute atau Webster University.
Pegawai Webster University dalam satu kenyataan berkata, sedih dengan kematian Liu dan akan melakukan siasatan sendiri untuk menentukan bukti kemungkinan berlaku sesuatu yang memudaratkan.
Kematian Liu secara tiba-tiba telah mencetuskan kemarahan di platform media sosial China, rata-rata netizen menuntut polis St Louis mendedahkan lebih banyak maklumat punca kematiannya. – MalaysiaGazette