ISU pedofilia semakin hari makin mencemaskan terutama ketika masyarakat mula alpa terhadap keselamatan kanak-kanak. Sekiranya nasi sudah menjadi bubur, maka tiada gunanya kita menyesal di kemudian hari apabila tidak memandang serius hal ini.
Seringkali pedofilia dikaitkan dengan golongan lelaki dewasa yang mempunyai kemahuan seksual terhadap kanak-kanak lelaki dan perempuan di bawah umur 13 tahun. Berdasarkan APA (American Psychological Association, 2013), tingkah laku pedofilia ini merupakan satu jenayah dan hubungan seksual antara dewasa dengan kanak-kanak merupakan satu kesalahan.
Pelaku pedofilia ini ibarat bagai api dalam sekam yang tiada segan-silu menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa tanpa perasaan belas kasihan. Apa yang lebih menyedihkan, pedofilia menjadikan ahli keluarga mereka sendiri sama ada anak kandung, anak tiri, saudara sebagai mangsa dan lebih malang, hal ini kadangkala tidak diketahui oleh sesiapa. Lebih buruk, terdapat juga kes culik melibatkan mangsa pedofilia.
Lagi mengharukan, ada mangsa pedofilia ini mengalami zaman malang ini sejak kecil lagi seawal usia tujuh tahun, iaitu di bangku sekolah rendah. Hal ini semakin menjadi igauan ngeri apabila mangsa telah diugut agar tidak memberitahu kepada ibu atau ahli keluarga terdekat. Terdapat juga mangsa terus diperlakukan dengan serangan seksual sehingga bertahun-tahun lamanya kerana ahli keluarga terdekat tidak mengetahui atau menyembunyikannya sehinggalah kes pedofilia ini terbongkar.
Implikasi daripada peristiwa pahit ini memberikan kesan psikologi terhadap mangsa. Ada antara mangsa yang terus menjadi celaru dan tertekan serta mempunyai keyakinan diri rendah serta merasakan diri tidak berguna lagi sehingga hilang fokus, terlalu takut untuk bersosial dan cuba menjauhkan diri daripada orang lain.
Selain itu, tumpuan terhadap pelajaran juga mula terganggu disebabkan ketidakstabilan emosi sehingga ada kalangan mangsa yang masih tidak pandai membaca. Perasaan yang bercampur baur seperti rungsing, geram, marah, sakit hati dan dendam kerap kali menguasai diri mangsa sehingga adakalanya mereka hilang pertimbangan dan cuba melepaskan perasaan tersebut dengan memukul adik beradik atau rakan-rakan sekeliling.
Malah, ada mangsa pedofilia yang mengalami trauma berpanjangan kesan daripada serangan seksual yang dialami tersebut. Lebih merumitkan lagi ada antara kanak-kanak mangsa pedofilia ini hamil yang lagi menambahkan tekanan emosi dalam persediaan untuk menjadi ibu pada usia yang terlalu muda. Selain itu ada juga mangsa pedofilia kanak-kanak lelaki akan cuba melakukan perkara yang terjadi kepadanya kepada kawan-kawan lelaki yang lain. Hal ini jika tidak dibendung, sudah pasti boleh memberikan impak lebih negatif kepada diri mangsa dan ummat.
Sehubungan itu, semua pihak perlu mengambil perhatian serius terhadap isu pedofilia ini bagi tujuan membendungnya daripada berleluasa. Ibu bapa perlu memainkan peranan yang sangat penting dengan melihat dan memantau keselamatan anak-anak secara berterusan. Realitinya, anak-anak amat memerlukan kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa.
Selain itu, ibu bapa perlu mendidik anak sejak dari usia tujuh tahun lagi tentang batas-batas aurat dan pergaulan serta memberikan pendidikan tentang hukum agama dan peraturan supaya anak-anak dapat belajar tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh mereka lakukan.
Ibu bapa juga hendaklah berwaspada dan jangan sesekali menyerahkan bulat-bulat anak-anak mereka kepada individu tertentu apabila diminta dibawa bersiar-siar atau tujuan lain kerana banyak kes pedofilia ini berlaku akibat ibu bapa terlalu memberikan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada pemangsa tanpa ada sedikit langkah berhati-hati dan berwaspada kepada pemangsa.
Bertindaklah segera melaporkan kepada pihak polis dan mangsa perlu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut sekiranya ada antara ibu bapa yang mendapati anak-anak mereka menjadi mangsa pedofilia. Namun, ia masih tidak mencukupi tanpa adanya sokongan moral kepada mangsa agar mereka dapat kembali hidup sejahtera. Elakkan menghukum, memukul atau melemparkan kata-kata kesat kepada mangsa yang lagi menambahkan bebanan emosi.
Kerjasama daripada pihak sekolah juga sangat penting dalam usaha membantu mangsa yang teraniaya ini untuk diberi perlindungan. Pihak sekolah boleh bekerjasama dengan merujuk kes mangsa kepada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) untuk tindakan perlindungan.
Selain itu, peranan kaunselor di sekolah juga penting dalam membantu kerajaan menangani isu pedofilia dengan memberikan pengetahuan berbentuk pencegahan berkaitan langkah-langkah menangani pedofilia kepada murid-murid. Hal ini kerana ada mangsa yang tidak mengetahui pedofilia ini satu jenayah dan juga tidak mengetahui saluran untuk mendapatkan bantuan.
Bagi mangsa pedofilia yang telah dikenal pasti, kemahiran empati dan menolong serta mendengar yang tinggi oleh kaunselor ketika sesi kaunseling dalam usaha membantu dan merungkai isu permasalahan mangsa secara tidak langsung dapat memberikan sinar baharu kepada mangsa untuk terus tabah melangkah dan membina kehidupan yang lebih bermakna dan sejahtera.
Kerjasama dan sikap peka daripada semua pihak, termasuklah masyarakat, ahli keluarga, jiran tetangga dan rakan murid amat diperlukan dalam menggembleng tenaga membantu kerajaan menangani isu pedofilia ini.
Terimalah diri mangsa pedofilia yang seadanya dan usah sesekali dihina atau dipandang rendah. Sokongan moral yang berterusan amat diperlukan oleh mangsa bagi meningkatkan semula kekuatan dan keyakinan diri mereka untuk meneruskan kehidupan lebih bermakna. Langkah-langkah proaktif terutama dari segi penguatkuasaan undang-undang perlu diambil agar keselamatan mangsa terus terjamin.
Oleh: Prof. Madya Dr. Faizah Abd Ghani dan Prof. Madya Dr. Mastura Mahfar, pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi
Malaysia, Johor Bahru