Home Pendapat Ayuh semua, buktikan kita mampu menang!

Ayuh semua, buktikan kita mampu menang!

Kelihatan anggota Polis Diraja Malaysia dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada hari terakhir sekatan jalan raya sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Plaza Tol Gombak, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 10 JUN 2020

SEKADAR ciapan di Twitter dan lontar pandangan di Facebook sudah boleh mengubah
dasar kerajaan? Jika dahulu mungkin mustahil, tapi tidak bagi zaman ini. Oleh itu,
kerajaan sekarang tidak lagi janggal dengan media sosial, sebaliknya
mengasimilasikannya dalam kerja, strategi penyampaian dan pungutan maklumat.

Setiap cadangan netizen di media sosial, selagi ia disampai selari undang-undang
dan cadangan yang masuk akal, sudah tentu ia menjadi perintis dan input yang baik
kepada keputusan kerajaan. Tahniah netizen yang tulus prihatin!

Pelbagai pihak perlu mainkan fungsi masing-masing. Kerajaan juga sebagai contoh
melalui Kementerian Pertahanan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah
terbukti berjaya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat
(PKPB), PKP Diperketatkan (PKPD) dan PKP Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di
kawasan tertentu. Alhamdulillah, setiap komuniti yang dikenakan semua
perintah ini akhirnya berjaya menghentikan penularan wabak maut
tersebut.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selaku tonggak utama melawan wabak ini
turut berusaha menyambung ribuan kontrak doktor, menambah bilangan Hospital
Covid-19 dan terkini melantik 1,899 petugas kesihatan baharu di seluruh negara.
Ini selaras keperluan mengejut tugas menyaring, menguji dan merawat KKM.

MKN dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) adalah antara ‘frontliners’
terpenting ketika proses melawan wabak maut ini. Mereka telah bergerak sejak hari
pertama Covid-19 dikesan di negara kita dengan memastikan pengurusan
pandemik dan bantuan sampai ke rakyat tepat pada masanya.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga berusaha dalam menyediakan Hospital
Medan untuk Covid-19 dan kawalan pergerakan bersama Polis sehingga berjaya
membendung penularan wabak. Sekadar beberapa contoh yang terlintas di fikiran
dengan tidak menafikan beratus lagi usaha dari pelbagai agensi lain yang amat
penting dikala ini.

Ingat tak, dahulu kita telah berjaya melepasi dua fasa (PKP dan PKPB) dengan
hanya duduk di rumah dan mengamal norma baharu. Wabak maut berjaya
dihentikan. Tahniah semua pihak!

Kini kita diuji lagi dalam fasa PKPP dengan lonjakan kes baharu di Malaysia
mencecah tiga angka setiap hari. Kerana suara dan pandangan netizen di media
sosial khususnya, Kerajaan telah bersetuju laksanakan PKPB di kawasan-kawasan
yang kesnya meningkat tinggi – Selangor terutamanya.

Tidak boleh tidak, PKPB terpaksa dilakukan juga pada saat ini. Dengan harapan
dalam masa dua minggu kita sama-sama boleh mendatarkan lengkung graf kes
positif Covid-19 di negara kita.

Khusus bagi umat Islam pula, pelaksanaan PKP, PKPB dan PKPD ini memang
menepati nasihat Rasulullah SAW yang bermaksud : “Apabila kamu
mendengarnya (wabak) di sesuatu tempat, maka janganlah kamu pergi ke
situ. Dan apabila ia berlaku di tempat kamu, maka janganlah kamu keluar
lari daripadanya.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Sesuai juga dengan ajaran Islam agar kita amalkan norma baharu melalui penjagaan
kesihatan sebagai membendung asbab jangkitan. Takdir itu memang takdir, tetapi
membendung asbab jangkitan itu perlu bagi umat Islam agar kita dapat beralih dari
takdir yang tidak baik kepada yang lebih baik.

Kejayaan kita ketika PKP dan PKPB dahulu adalah kerana amalan norma baharu dan
pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dipatuhi oleh semua
pihak.

Contohilah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-
Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang sentiasa terkehadapan dalam
mengamalkan norma baharu dan mematuhi SOP sejak awal PKP lagi, 18 Mac lalu.

Terkini, Baginda bertitah mengajak semua peringkat dan Baginda sendiri berdoa
supaya Malaysia terus dilindungi dan dirahmati dari ancaman wabak maut Covid-19.

Justeru, siapa kita untuk mengatakan tidak kepada amalan norma baharu dan
mematuhi SOP jika Ketua Negara sendiri telah memberi contoh teladan?

Sarfarizmal Saad
ISLAMI Putrajaya