Home Nasional Kaunter Imigresen di negeri PKPB ditutup sehingga 27 Oktober

Kaunter Imigresen di negeri PKPB ditutup sehingga 27 Oktober

Datuk Khairul Dzaimee Daud

PUTRAJAYA – Perkhidmatan Kaunter Imigresen di semua pejabatnya di seluruh negeri Sabah, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya ditutup untuk awam.

Ketua Pengarah Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, penutupan kaunter ini bermula 13 Oktober sehingga 26 Oktober 2020 bagi seluruh Negeri Sabah.

“Manakala penutupan bermula 14 Oktober 2020 sehingga 27 Oktober 2020 bagi seluruh Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, tindakan itu selaras dengan keputusan kerajaan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi negeri-negeri tersebut seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan semalam.

Sehubungan dengan itu, katanya semua urusan dan temujanji yang telah dibuat sepanjang tarikh tersebut melalui Sistem Temujanji Online (STO) adalah ditangguhkan.

“Walau bagaimanapun semua urusan atas talian masih berjalan seperti biasa.

“Orang ramai tidak dibenarkan hadir ke pejabat-pejabat imigresen yang terbabit kecuali atas sebab-sebab kecemasan yang telah dirujuk lebih awal,” tegas beliau.