Home Pendapat Perkenalkan semula GST, kembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan

Perkenalkan semula GST, kembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan

Kebanyakan tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikemukakan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah melepasi proses semakan dan mula dibayar balik secara berperingkat sehingga akhir tahun, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri T.Subromaniam. 
Kerajaan akan menambah baik dari aspek kecekapan proses bayaran balik jika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula,

GST (Goods and Services Tax) yang telah dimansuhkan pada 2018 merupakan satu
langkah drastik yang berkait rapat dengan agenda politik negara. Kerajaan pada ketika itu
telah memansuhkan sistem cukai yang digunapakai oleh 160 buah negara seluruh dunia.
GST atau VAT (value added tax) terbukti sebagai sistem cukai yang telus, pengenaan cukai secara meluas dan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan negara.

Berdasarkan pengalaman negara-negara yang telah melaksanakan GST, tiga hingga lima
tahun pertama pengenalan GST merupakan tempoh transisi bukan sahaja untuk rakyat
bahkan kepada penguatkuasa, seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk
memahami dan mengadaptasi sistem GST. Dalam tempoh itu, peniaga perlu memahirkan
diri dengan penggunaan sistem perakaunan, pengguna atau pembeli perlu membiasakan
diri dengan perubahan harga barangan, KPDNHEP perlu menyelaraskan strategi untuk
membanteras kegiatan kenaikan harga barang secara tidak terkawal dan JKDM perlu
menyelaraskan peruntukan cukai dan memastikan semua pegawai mengaplikasikan
undang-undang cukai secara konsisten bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat.

Menyingkap semula sejarah penambahbaikan pentadbiran cukai di Malaysia pada tahun
2001 dimana sistem taksir sendiri (STS) telah diperkenalkan bagi menggantikan sistem
taksiran formal. Apabila STS diperkenalkan, banyak rungutan diterima dari pembayar cukai kerana mereka perlu memahami undang-undang percukaian dan mengira sendiri cukai pendapatan mereka. Kerajaan tegar dengan rungutan masyarakat dan tetap
melaksanakan STS kerana ia merupakan sistem yang lebih efektif bagi meningkatkan punca pendapatan negara. Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengambil inisiatif memperbaiki mutu perkhidmatan STS dari pelbagai aspek seperti penyampaian ilmu kepada masyarakat, sistem dan teknologi yang lebih canggih dan memastikan staf dan pegawai menyampaikan maklumat yang konsisten. Kini, STS sudah sebati dengan pembayar cukai dan LHDN kini lebih fokus kepada aktiviti pematuhan cukai seperti audit dan siasatan. Impaknya adalah tahap pematuhan cukai yang lebih baik dan jumlah pungutan cukai yang semakin meningkat.

Tidak dinafikan sistem GST masih mempunyai pelbagai kelemahan, namun dengan
pelbagai penambahbaikan secara konsisten dan sokongan kolektif dari pelbagai
kementerian, sudah pasti sistem GST di negara kita akan menjadi lebih telus, mantap dan
efektif. Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk membaiki sistem GST.
Pertama adalah dengan menambahbaik kaedah pengiraan cukai dan pengisian borang agar lebih ringkas dan mudah difahami. Undang-undang yang kompleks dan mengelirukan menyebabkan tahap pematuhan yang rendah dan meningkatkan jumlah kes perbicaraan di mahkamah yang melibatkan kos yang tinggi kepada pembayar cukai dan kerajaan.

Kedua, memastikan pelaksanaan dan penjelasan cukai yang konsisten. Antara rungutan
peniaga adalah penjelasan cukai yang tidak konsisten antara pegawai JKDM. JKDM perlu
melatih pegawai menerangkan undang-undang GST yang tepat dan kompeten dalam
pengendalian kes audit. Ia penting bagi konsistensi dan mengelakkan tindakan undang-
undang atau penalti dikenakan atas kesilapan yang bukan disengajakan oleh pembayar
cukai.

Ketiga, melaksanakan undang-undang yang lebih ketat dan mengenakan tindakan
yang lebih berat kepada peniaga yang sengaja menaikkan harga barangan yang lebih tinggi. Ini dapat dilaksanakan dengan lebih baik dengan kerjasama antara agensi seperti
KPDNHEP dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia.

Keempat, sistem pelaporan kutipan dan pembayaran balik cukai yang lebih efisien.
Walaupun Kerajaan telah mengumumkan kutipan cukai GST pada tahun 2017 berjumlah
RM44 billion, namun jumlah tersebut tidak termasuk cukai yang perlu dibayar balik kepada pembayar cukai. Sistem pelaporan yang lebih baik penting bagi memastikan jumlah bersih kutipan GST dapat ditentukan.

Kelima, dalam jangkamasa panjang, adalah lebih baik sistem pengurusan cukai langsung dan tidak langsung ditadbir oleh satu agensi percukaian sahaja. Pentadbiran percukaian dibawah satu agensi dapat memastikan segala maklumat perniagaan diseleraskan bagi memastikan peniaga membayar cukai yang tepat bagi cukai pendapatan dan GST. Ia juga dapat mengurangkan kos pentadbiran dan pematuhan cukai.

Sistem GST yang lebih baik sudah tentu dapat memenuhi objektif pelaksanaannya iaitu
meluaskan asas cukai, menambah bilangan pembayar cukai, meningkatkan tahap
pematuhan cukai dan mengukuhkan pendapatan serta sosio ekonomi negara. Rakyat perlu peka dan faham tentang kebaikan GST manakala kerajaan pula perlu memantapkan
keyakinan rakyat kepada Kerajaan. Walaupun kerajaan menggunakan sistem percukaian
yang efisien, ianya akan mudah ditolak rakyat sekiranya kerajaan tidak telus dan kutipan
cukai tidak diberikan semula kepada rakyat melalui pelbagai insentif dan kemudahan.
Keyakinan rakyat kepada kerajaan juga akan pudar dan lenyap sekiranya ahli politik tampak seperti membolot kutipan pendapatan negara. Justeru itu, keyakinan rakyat kepada kerajaan juga perlu dititikberatkan apabila GST diperkenalkan semula.

Waktu terbaik untuk memperkenalkan semula GST adalah apabila sosio ekonomi negara dan dunia semakin stabil terutamanya setelah pandemik Covid-19 dapat dikawal atau diatasi. Untuk pengenalan semula, kerajaan wajar mengenakan kadar GST yang lebih rendah iaitu 5% dan dinaikkan secara berperingkat.

 

Oleh: Dr. Izlawanie Muhammad merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)