TUMPAT – Lebih 100 pendatang tanpa izin temasuk tekong darat ditahan dalam tempoh beberapa bulan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan, di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand, berdekatan daerah Tumpat.
Ketua Polis Daerah Tumpat Supt Ab Rashid Mat Daud berkata kesemua pendatang tanpa izin itu dibawa masuk ke negara ini melalui lorong-lorong tikus dan pangkalan haram yang terdapat di daerah berkenaan.
“Dengan tangkapan ini pihak kami tidak menafikan ada warga tempatan menjadi tekong darat atau tali barut yang membawa masuk warga asing ini,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Op Bersepadu COVID-19 di sekitar daerah Tumpat, di sini, hari ini.
Ab Rashid berkata pihaknya memandang serius kegiatan penyeludupan pendatang tanpa izin ke negara ini terutamanya ketika negara dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.
“Mereka (warga tempatan) akan dibawa ke muka pengadilan sekiranya terlibat dengan kegiatan ini sama ada secara langsung atau tidak langsung,” tambahnya.
— BERNAMA