KUALA LUMPUR – Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyokong penuh keputusan untuk program latihan berpusat buat atlet negara diteruskan secara tertutup dan terkawal sepanjang pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Kerajaan untuk memperketatkan SOP bagi sektor sukan dan rekreasi di negeri yang dilaksanakan PKPB – Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan
Putrajaya, Selangor serta Sabah yang mengalami peningkatan mendadak kes Covid-19.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, semua atlet negara yang mengikuti sesi latihan akan ditempatkan di asrama Majlis Sukan Negara (MSN) dan perlu mematuhi setiap garis panduan serta arahan yang dikeluarkan majlis itu sepanjang tempoh PKPB.
“Dalam masa sama, para atlet juga tidak dibenarkan berinteraksi atau mempunyai sebarang kontak dengan mana-mana individu di luar sana kerana ia antara
langkah mencegah atlet daripada terkena jangkitan Covid-19.
“MPM juga telah dimaklumkan bahawa MSN akan mengurangkan jumlah kakitangan dalam kawasan latihan berpusat ini sepanjang tempoh latihan tersebut sama seperti dilaksanakan ketika PKP.
“MPM turut melihat program latihan berpusat secara tertutup dan terkawal
(Quarantine Based Approach) merupakan perancangan SOP terbaik untuk atlet
meneruskan latihan secara terkawal bagi tempoh satu atau dua tahun ini.
“Kredit perlu diberikan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana telah menyediakan SOP ini,” katanya.
D. Shahriman menambah, Quarantine Based Approach ini adalah strategi fasa pertama daripada semua agensi terlibat untuk membolehkan latihan atlet negara diteruskan seperti biasa sebelum kita dapat menilai apalagi SOP yang lebih baik untuk masa akan datang.
Menurutnya, setiap negara mempunyai pendekatan masing-masing dalam menetapkan SOP bagi menangani penularan Covid-19 sebagai contoh di Jerman dan Jepun di mana MPM telah dimaklumkan mereka menggunakan pendekatan berbeza.
Namun jelas beliau, kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah SOP dan meniru konsep negara tersebut kerana di negara ini kita turut mempunyai cara tersendiri.
“Jika hendak hibrid sekalipun masih perlu mendapatkan kelulusan daripada semua agensi berkaitan.
“Diharapkan para atlet dapat mengekalkan kecergasan pada tahap optimum sepanjang
tempoh tersebut walaupun terdapat kekangan dari segi latihan. Hal ini kerana aktiviti
bersentuhan fizikal dan aktiviti perlawanan bagi sukan berpasukan tidak dibenarkan.
“Bagaimanapun, sekiranya terjadi situasi atlet mendapat kebenaran meneruskan latihan
secara bersendirian, pihak MPM ingin mengingatkan kepada atlet-atlet ini supaya sentiasa
memberi kerjasama kepada pihak pengurusan MSN serta jurulatih dengan memberi laporan latihan serta memaklumkan pergerakan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette