Home Utama Azhar nafi PM larang usul tidak percaya dibentang di Dewan Rakyat

Azhar nafi PM larang usul tidak percaya dibentang di Dewan Rakyat

Azhar Azizan Harun.

KUALA LUMPUR –  Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menafikan Perdana Menteri tidak membenarkan usul undi tidak percaya terhadapnya dibahaskan dengan menyenaraikan usul teserbut di penghujung senarai kertas Aturan Urusan Mesyuarat Harian.

Menjawab surat berkaitan usul tidak percaya yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Azhar menjelaskan, usul tersebut telah disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat mengikut Peraturan-Peraturan Mesyuarat.

Namun, katanya, urusan kerajaan perlu didahulukan seperti yang termaktub di bawah Peraturan-Peraturan Mesyuarat.

“Sementelahan itu, YBM Tan Sri juga telah memohon jaminan agar usul tidak percaya ini akan dibentang di Dewan Rakyat sebagai suatu keutamaan pada mesyuarat persidangan akan datang.

“Untuk makluman YBM Tan Sri, selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat tugasan saya adalah terikat dengan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sedia ada.

“Makanya, di mana ahli-ahli Dewan Rakyat boleh memberi notis untuk membentangkan usul dan ia akan dipertimbangkan berdasarkan Peraturan Mesyuarat,” katanya.

Surat jawapan Azhar bertarikh 29 September itu dihantar kepada Ku Li bagi membalas pertanyaan ahli Parlimen Gua Musang itu menerusi surat yang dikirimkan dengan tangan empat hari sebelum itu.

Sehubungan dengan itu, Azhar mencadangkan Ku Li berunding dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Parlimen serta undang-undang supaya usul persendirian diberi keutamaan untuk  dibentang di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, katanya, usul-usul persendirian termasuk usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri adalah dari Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Ahli Parlimen Langkawi, dan usul undi percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dari Pasir Putih, Sabak Bernam dan Arau.

Kesemuanya  telah disenaraikan berdsarkan masa penerimaan usul-usul tersebut dan  disenaraikan di kertas Aturan Urusan Mesyuarat

“Dalam hal ini usul-usul persendirian dari YB Tuaran, Bukit Bintang, Gerik dan Arau ketika itu telah diterima lebih awal berbanding usul Langkawi.

“Susunan Aturan Mesyuarat yang lalu sebenarnya telah dibuat oleh mantan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang lalu dan bukannya saya,” katanya.

Ku Li dalam surat tersebut berkata, usul tidak percaya amat penting dari sudut Perlembagaan termasuk untuk menentukan kesahihan kerajaan sekarang ini di bawah pimpinan Muhyiddin.

Katanya, pencadang usul tersebut iaitu Dr Mahathir telah mendakwa bahawa Muhyiddin sebanyak dua kali enggan membenarkan usul tersebut dibahaskan dengan cara menyenaraikannya di penghujung Senarai Perbahasan. – MalaysiaGazette