KUALA LUMPUR – Sebanyak 27 kawasan di Kuala Langat dan Sepang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual pada 20 Oktober ini.
Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan, gangguan yang bermula pukul 9 malam itu adalah disebabkan penggantian injap dan paip antara Jalan Indah 1 dan Jalan B48, Taman Desa Indah, Nilai, Negeri Sembilan.
“Pelaksanaan kerja-kerja ini membolehkan sistem pengagihan bekalan air berjalan lancar dan semua peralatan berkaitan berada dalam keadaan baik serta optimum,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.
Air Selangor menjangkakan bekalan air pulih sepenuhnya pada pukul 5 petang, 21 Oktober.
Jelasnya, tempoh gangguan dan pemulihan berbeza mengikut kawasan, bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan air pada sistem agihan.
Antara kawasan terlibat di Kuala Langat iaitu Kampung Kundang, Tanjung Sepat New Village, Taman Pelangi, Taman Tanjung Sepat Indah, Ladang Bedford, Kuarters Estate Gadong, Kampung Batu Laut, Ladang Batu, Kampung Orang Asli Tanjung Sepat, Kampung Tanjung Sepat Darat, Kampung Batu Untung, Taman Batu Untung, Taman Mutiara dan Kampung Tumbuk.
Manakala di Sepang pula kawasan terlibat adalah Kampung Bukit Bangkong, Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Kem PKLS Haliza Ulu Teris, Kampung Hulu Teris, Tanjung Rhu, Taman Seri Sungai Pelek, Kampung Ulu Chuchoh, Pekan Sungai Pelek serta Kampung Baru Sungai Pelek. – MalaysiaGazette