Home Seni Hidup GV7 tanpa penonton

GV7 tanpa penonton

KUALA LUMPUR – Program realiti, Gegar Vaganza Musim Ke-7 (GV7) diteruskan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor yang berkuat kuasa semalam hingga 27 Oktober ini.

Walau bagaimanapun menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal, program berkenaan akan dikendalikan tanpa penonton bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Penganjuran dua konsert mingguan yang kebetulan jatuh dalam fasa PKPB. Ini membabitkan konsert minggu kedua, Ahad ini dan minggu ketiga (25 Oktober) yang akan disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

“Namun, hanya kru produksi dan tenaga kerja yang berdaftar dibenarkan berada di lokasi untuk mengawal jumlah bilangan kehadiran pada suatu masa,” katanya.

Katanya lagi, sebarang perubahan jadual berkaitan program GV7 akan dimaklumkan dari masa ke semasa, tertakluk kepada perkembangan situasi semasa wabak Covid-19 dan kelonggaran yang diberi oleh pihak berkuasa.

Ahad lalu, sidang media GV7 yang sering dianjurkan selepas konsert mingguan dibatalkan, seiring dengan langkah mengawal penularan Covid-19 dan pematuhan SOP.-MalaysiaGazette