Home Pendapat Polemik politik, pandemik dan kebebasan bersuara di sebalik tabir digital

Polemik politik, pandemik dan kebebasan bersuara di sebalik tabir digital

social media online
Gambar hiasan

SEKALI lagi negara kita Malaysia dihidangkan dengan polemik perebutan kuasa yang umpama tidak berkesudahan. Nasihat Seri Paduka Baginda Yang Di-pertuan Agong untuk tidak menjerumuskan negara ke dalam ketidaktentuan semasa pandemik Covid-19 yang kini membuat ‘pusingan ketiga’ seperti tidak diendahkan sesetengah pihak. Hal ini adalah amat malang dan membimbangkan. Tentunya sebagai rakyat biasa, saya doakan yang terbaik buat negara tercinta Malaysia. Ini bukanlah sebuah coretan politik.

Di saat Covid-19 menunjukkan tanda peningkatan yang begitu ketara, masyarakat tidak
kurang merasai kebimbangan akan penularan jangkitan yang begitu rawak dan tidak
dijangka ini. Pada 14 Oktober 2020, kerajaan telah mengambil keputusan untuk
melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Dengan kembalinya warga kota ke rumah masing-masing, atau lebih dikenali dengan #stayathome, sudah pasti ramai yang akan bekerja dari rumah dan penggunaan internet kembali meningkat. Permintaan mengejut terhadap perkhidmatan dalam talian kini lebih tertumpu di kawasan perumahan, berbanding kawasan perindustrian atau pejabat-pejabat sebelum Covid-19 melanda.

Justeru, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) telah diperkenalkan oleh Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebagai pelan jangka panjang untuk mempertingkatkan akses rakyat kepada Internet berkelajuan tinggi. Antara usaha yang sedang dibangunkan termasuk, kearah 100 peratus capaian Internet 4G di kawasan penduduk berkepadatan tinggi, mencapai kelajuan Internet fiber bertaraf Gigabit di lebih 9 juta kediaman dan memastikan kesediaan infrastruktur digital. Usaha ini adalah selari dengan hasrat untuk menyediakan infrastruktur yang boleh menyokong teknologi 5G yang turut membuka lebih banyak ruang dan peluang dalam pelbagai sektor industri seterusnya memberi manfaat kepada ekonomi rakyat dan negara amnya.

Berbalik kepada isu polemik politik yang melanda negara ketika ini, usaha-usaha seperti
JENDELA tidak terlepas dari menjadi bualan dan perbahasan warganet. Oleh kerana
penciptaan kandungan telah menjadi begitu mudah sepantas satu klik tetikus atau touchscreenpada smartphone, terdapat banyak kata-kata negatif mahupun
positif yang diluahkan di media sosial. Ada yang berbau berita palsu, lucah dan menghina
yang berkemungkinan melanggar undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Telah begitu banyak kempen advokasi dijalankan seperti Klik dengan Bijak, namun saya
beranggapan kempen-kempen ini tidak cukup untuk menusuk ke hati dan fikiran segenap masyarakat. Sesetengah netizen lebih mudah menuturkan kata-kata melalui papan kekunci seperti keyboard warrior namun tidak menyedari bahawa setiap yang ditaip itu akan kekal di dunia siber sampai bila-bila. Mungkin juga ada yang berfikiran, “Bil internet ini saya yang bayar, ikut saya-lah nak tulis apa”. Kata-kata jelik itulah yang menggambarkan identiti segelintir netizen, yang mungkin juga dilihat bakal majikannya yang boleh menilai siapa diri sebenar bakal pekerja yang memohon pekerjaan di syarikatnya ini, melalui penulisannya di media sosial.

Tidak kurang juga dapat kita lihat kerabat diraja yang mahu mendekati rakyat jelata secara maya melalui media sosial, terutamanya semasa musim PKPB ini. Namun amat malang apabila ada netizen yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan penggunaan bahasa kesat sebagai respon kepada usaha murni tersebut. Hal ini memberikan gambaran bahawa siapa identiti kita yang sebenar disebalik ‘tabir digital’ ini.

Justeru, ingin saya ingatkan kepada diri saya dan pembaca untuk berhati-hati dalam
membuat sebarang komen mahupun posting di Internet. Ingin saya petik tagline
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menarik iaitu “Kebebasan Bersuara Bukan Kebebasan Berbohong”. Kita sebagai rakyat telah diberi hak untuk bersuara seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan namun umum seharusnya memahami bahawa tiada hak yang sepenuhnya mutlak, dan hak mutlak itu hanyalah milik Allah s.w.t sebagai pencipta sekalian manusia.

Oleh: Dr. Mahyuddin Daud ialah Pensyarah Kanan (Undang-undang Siber) di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.