Home Nasional Bomba perkemas SOP, tingkat integriti

Bomba perkemas SOP, tingkat integriti

Ketua Pengarah Bomba, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim

PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam proses memperkemaskan Standard Operasi Prosedur (SOP) jabatan itu bagi menjamin integriti pegawai dan anggotanya berada pada tahap terbaik dan memastikan mereka bebas rasuah dan salah guna kuasa.

Ketua Pengarah JBP, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, langkah itu diambil  susulan penahanan empat anggota JBPM yang disyaki terlibat rasuah dan salah guna kuasa pada 13 Mac lepas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Perkara sedemikian tidak boleh dipandang ringan walaupun penglibatan rasuah dan salah guna kuasa dalam JBPM masih terkawal dan rendah.

“Rasuah dan salah guna kuasa kes dalam jabatan ini (bomba) sangat jarang berlaku maknanya kami akan sentiasa mengambil langkah berwaspada serta mengenal pasti ruang-ruang untuk berlakunya rasuah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

Wan Mohd Nor berkata, antara SOP yang diperkemaskan membabitkan tatacara mengenal pasti dan menganalisis ruang dan peluang pada prosedur kerja yang boleh berlaku rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan serta meningkatkan mekanisme kawalan dan pemantauan kepada ruang kerja dan peluang boleh berlaku rasuah.

Tegas Wan Mohd Nor, JBPM tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat rasuah serta salah guna kuasa dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya ada yang terlibat dalam perbuatan tidak bermoral itu.

Komitmen JBPM dalam menangani isu rasuah dan salah guna kuasa terbukti dengan penubuhan Unit Integriti JBPM yang beroperasi di ibu pejabat dikendalikan oleh lapan anggota JBPM.

Katanya selain bertanggungjawab memantau, unit berkenaan juga akan menyiasat sekiranya terdapat aduan, baik secara dalaman mahupun dari pihak luar mengenai salah laku pegawai atau anggota JBPM.

Wan Mohd Nor berkata, selain kes terbaru melibatkan empat anggota itu, hanya satu kes membabitkan anggota JBPM direkodkan terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa dalam tempoh tiga tahun lepas.

Katanya dalam mengekang perbuatan rasuah dan salah guna kuasa, penekanan utama diberi kepada Unit Perlesenan dan Unit Kelulusan Pelan Bangunan di bawah Bahagian Keselamatan dan Kebakaran.

“Kami lakukan tapisan rapi kepada pegawai dan anggota yang ditempatkan di unit berkenaan bagi mengelak daripada berlakunya isu integriti dan penyalahgunaan kuasa dalam menjalankan tugas.

“Pegawai atau anggota JBPM yang diragui tahap integritinya di dua unit berkenaan akan dipindahkan serta-merta ke unit yang lain,” katanya. – MalaysiaGazette