Home Politik UMNO akan bincang keputusan Biro Politik – Annuar

UMNO akan bincang keputusan Biro Politik – Annuar

Annuar Musa

PUTRAJAYA – UMNO sudah mula membincangkan keputusan yang dibuat Biro Politik parti itu untuk mempertimbangkan menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau yakin perkara itu akan menjadi topik perbincangan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang akan diadakan bila-bila masa.

“Kalau ada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO sudah tentu perkara itu akan dibincangkan dan saya perhatikan pun memang perkara (keputusan mesyuarat Biro Politik UMNO) itu sedang dibincangkan.

“Tetapi kebanyakannya dalam kumpulan Whatsapp dan sebagainya kerana mesyuarat (setakat ini belum diadakan),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Majlis Tertinggi UMNO akan membincangkan ketetapan yang dibuat Biro Politik parti itu pada Selasa.

Selasa lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan membuat kejutan apabila memaklumkan, UMNO sedang mempertimbangkan untuk menarik diri dari menyokong Perikatan Nasional (PN).

Katanya, parti itu akan memberi syarat baru kepada kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Bagaimanapun, pendirian biro politik UMNO itu belum muktamad kerana perkara tersebut masih perlu mendapat persetujuan majlis tertinggi parti.

Sementara itu, mengulas pendirian BN berhubung perkara tersebut Annuar berkata, setakat ini tiada perbincangan mengenainya dibuat.

“Peringkat BN belum adakan apa-apa mesyuarat dan tiada jangkaan waktu untuk BN adakan mesyuarat,” katanya ringkas.

Manakala diminta mengulas syarat baru yang bakal dikenakan kepada PN, Annuar memberitahu, beliau tidak boleh mengulas mengenainya.

“Mesyuarat biro politik telah putuskan dan hanya setiausaha Agung UMNO sahaja boleh membuat ulasan berhubung perkara-perkara sebegitu,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

UMNO pertimbang tarik diri dari sokong PN

1 Komen

  1. Wahai tan Sri..
    Minta tan Sri atau pucuk.pimpinan UMNO keluarkan arahan supaya tidal ada lagi ahli2 berpangkat yg ingat dia tu power sgt dr mengeluarkan kenyataan yg blh memecah belah n mengelirukan rakyat lagi
    Nasihatkan la ketua2 pemuda,cawangan n otai2 lama n baru ni belajar la tutup mulut n simpan rahsia

Comments are closed.