TANGGAL 14 Oktober 2020 merupakan suatu tamparan buat kegiatan sukan dan rekreasi khususnya universiti awam yang terjejas dengan perintah kawalan pergerakan bersyarat yang dikuatkuasa semula berikutan peningkatan kes Covid-19 di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Selepas beberapa bulan sebelumnya, penggiat sukan dan rekreasi boleh menarik nafas lega karana telah dibenarkan beroperasi oleh Majlis Keselamatan Negara.
Kita turut dapat melihat atlet-atlet dapat meneruskan persiapan untuk menghadapi pelbagai pertandingan di peringkat antarabangsa dan kebangsaan.
Namun kini, tiada satu jaminan bahawa kegiatan sukan dan rekreasi boleh diteruskan jika jumlah jangkitan kes Covid19 tidak menurun dalam masa terdekat. Buat pusat sukan khususnya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, tentunya perkara ini meresahkan para pegawai dan atlet.
Pusat Sukan memainkan peranan dalam pembangunan kegiatan sukan di universiti secara amnya. Secara lebih khusus, Pusat Sukan UIAM berhasrat bukan sekadar melahirkan para
atlet yang mewakili universiti, malah melahirkan atlet berpersonaliti holistik.
Selari dengan hasrat universiti ke arah melahirkan Insan Sejahtera, pusat sukan turut mendokong cita-cita murni ini demi menjadikan komuniti kampus sebuah masyarakat yang sejahtera, sihat dan harmoni.
Dari perspektif pembangunan atlet, perlaksanaan PKP dan peningkatan kes Covid-19 tentunya memberi kesan besar terhadap ekosistem latihan dan persediaan untuk ke sesuatu pertandingan.
Untuk mengelakkan prestasi atlet merosot, sesi latihan dalam talian bersama jurulatih perlu diteruskan.
Oleh kerana UIAM mempunyai satu kampus induk di Gombak dan 3 kampus satelit di Kuantan, Pagoh dan Gambang, siri-siri latihan perlu dipergiat walaupun secara maya memandangkan atlet datang dari kawasan yang berbeza dan perlaksanaan PKP di zon-zon tertentu mengehadkan kemungkinan untuk membuat latihan berpusat.
Seperti yang diperkatakan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada 14 Oktober 2020, para pengiat sukan tidak perlu terlalu bimbang kerana larangan aktiviti sukan kontak hanya bersifat sementara.
Justeru, amat-amat kita harapkan supaya masyarakat mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara supaya jangkitan Covid-19 dapat kita hapuskan dari negara kita.
Dalam konteks sukan rekreasi, Pusat Sukan UIAM khususnya amat mengalakkan para pelajar dan staff universiti untuk terus aktif dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.
Pusat Sukan UIAM telah membangunkan SOP khusus untuk setiap venue luar dan dalam yang mematuhi kepada kehendak penjarakan fizikal, mengurangkan perkumpulan dan mengutamakan kebersihan.
Semenjak aktiviti sukan dan rekreasi dibenarkan pada bulan Jun sehingga kini, komuniti kampus semakin memandang tinggi terhadap kepentingan menjaga kesihatan dan pada masa yang sama, memastikan pematuhan kepada SOP agar kita dapat membantu menyekat penularan Covid-19.
Aktiviti rekreasi seperti beriadah, bermain tenis, futsal dan sebagainya dapat diteruskan dengan pematuhan kepada SOP tertentu. Selain dari itu, UIAM turut berusaha untuk membangunkan sukan tradisional atau indigenous sports untuk menghidupkan kembali permainan tradisi seperti galah panjang, menyumpit, teng teng, congkak, tutup ceper, dam ular gergasi dan batu seremban.
Menariknya, sukan tradisional ini dapat menghubungkan pelajar Malaysia bersama-sama pelajar antarabangsa kerana di negara asal mereka, terdapat juga sukan tradisi yang hampir sama, hanya berbeza pada nama.
Suatu perkara yang unik berlaku mungkin juga hikmah dari Covid-19 adalah penglibatan pusat sukan dalam siri wacana intelektual secara maya.
Perkara ini dimulakan oleh Pusat Sukan UIAM sendiri melalui wacana berteraskan Sustainable Development Goals dan mula
menjadi trend kepada pusat sukan di universiti lain di Malaysia. Laman Facebook pusat sukan mula dibanjiri dengan kandungan positif yang mengajak masyarakat supaya melihat sukan lebih jauh dari sekadar ‘pingat emas’, ‘berpeluh’ dan ‘penat’.
Bak kata Timbalan Rektor, Hal Ehwal Pelajar dan Penglibatan Komuniti UIAM, Assoc. Prof. Dr. Zulkifli Hasan, “sukan boleh menyatukan masyarakat jauh lebih baik berbanding politik”.
Diskusi dan wacana sebegini harus diteruskan samada secara maya atau bersemuka, agar perkembangan ilmu dapat diteruskan seiring dengan pembangunan sukan dan rekreasi.
Sebagai penutup, cabaran pandemik Covid19 tidak akan membuat pusat sukan universiti ‘gulung tikar’ atau ‘tutup kedai’.
Malah, kita masih boleh terus aktif dengan pematuhan
kepada SOP yang ditetapkan. Selain itu, program seperti advokasi, wacana ilmiah dan knowledge transfer boleh diteruskan secara maya untuk meningkatkan kemahiran dan
pengetahuan.
Sama-samalah kita berganding bahu untuk mencapai matlamat ke arah melenyapkan Covid19 di bumi Malaysia yang tercinta ini.
Oleh: Dr. Mahyuddin Daud, Pengarah Pusat Pembangunan Sukan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Pensyarah Kanan, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, UIAM.