KUALA LUMPUR – Jumlah kes positif akibat penularan wabak Covid-19 kekal tiga angka dengan jumlah harian kes yang terbaharu ialah 629 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah terkumpul kes positif wabak itu adalah sebanyak 18,758 kes.
Ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 meningkat kepada 6,323 kes dengan kesemua mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
“Jika dilihat pecahan utama jumlah kes hari ini, negeri Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 489 kes atau 77.7 peratus. Lebih banyak keputusan makmal telah diperolehi.
“Makmal di Sabah misalnya, telah menjalankan 3,296 ujian semalam dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah membantu menghantar 5,340 sampel ke Semenanjung Malaysia untuk diproses segera.
“Manakala, negeri-negeri di Lembah Klang pula merangkumi 9.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, iaitu Negeri Selangor mencatat 50 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur lapan kes dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dua kes.
“Kesemua negeri-negeri ini adalah dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 hari ini.
Noor Hisham berkata, secara keseluruhan, sebanyak 38 kes atau enam peratus pada hari ini adalah daripada Kluster Tembok, Kluster Penjara Reman dan Kluster Penjara Seberang Perai.
Kes-kes itu sememangnya terasing di dalam penjara, katanya.
Tambahnya, adalah dimaklukan daripada 629 kes baharu yang dilaporkan, terdapat dua kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara dengan kesemuanya melibatkan warganegara dari New Zealand dan Singapura.
Manakala, 577 kes lagi merupakan warganegara Malaysia dan 50 kes adalah bukan warganegara.
Sementara itu, Noor Hisham memberitahu, berdasarkan maklumat yang diterima daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) terdapat pertambahan enam kematian akibat wabak itu.
Justeri katanya, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 176 kes atau 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – MalaysiaGazette