Home Nasional Peladang, pemborong, peruncit dikompaun naikkan harga ayam

Peladang, pemborong, peruncit dikompaun naikkan harga ayam

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman

PUTRAJAYA – Lapan peladang, dua pemborong dan dua peruncit dikompaun sebanyak RM50,000 setiap seorang kerana mengambil kesempatan menaikkan harga ayam.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, tindakan itu diambil menerusi pemeriksaan kenaikan harga ayam berikutan aduan yang diterima daripada orang ramai pada 15 Jun lalu.

Katanya, pemantauan telah dilaksanakan di bawah perundangan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 untuk mengenal pasti peringkat rantaian pembekalan yang memulakan punca kenaikan tersebut serta mengesan sekiranya wujud aktiviti pencatutan.

“Hasil daripada pemeriksaan yang dilaksanakan, sebanyak 286 notis telah dikemukakan kepada peniaga di peringkat peruncit, pemborong dan peladang ayam untuk mendapatkan maklumat dan mengesan sama ada berlakunya aktiviti pencatutan.

“Hasil daripada siasatan yang dijalankan, sebanyak 19 kertas siasatan telah dibuka untuk diteruskan siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, hasil siasatan menyaksikan 12 kes diambil tindakan di bawah Seksyen 21(5), Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“Kesemua 12 kes tersebut terdiri daripada lapan peladang, dua pemborong dan dua peruncit dan semua kes tersebut telah dikompaun sebanyak RM50,000.00.

“Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP sentiasa memandang serius isu peniaga yang cuba mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti mencatut semasa menghadapi situasi pandemik ini.

“Mana-mana peniaga yang menaikkan harga barangan atau caj bagi suatu perkhidmatan tanpa mematuhi perundangan pencatutan akan disiasat dan diambil tindakan yang tegas di bawah akta tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette