PUTRAJAYA – Persatuan Bola Sepak Putrajaya (Putrajaya FA) tidak mendapat gambaran bakal memiliki sebuah pasukan bola sepak yang akan beraksi dalam Liga Malaysia pada musim depan.
Presidennya, Ahmad Faisal Abdul Karim berkata, Putrajaya FA adalah sebuah badan yang sah dan bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal bola sepak di Putrajaya.
“Berhubung ciapan Menteri Wilayah Persekutuan (Tan Sri Annuar Musa) yang tular baru-baru ini, Putrajaya FA ingin menegaskan bahawa badan ini tidak dapat sebarang gambaran jelas serta tidak dimaklumkan apa-apa berkenaan kemungkinan Putrajaya bakal memiliki pasukan sendiri dan beraksi dalam Liga Malaysia,” katanya.
Menurut Ahmad Faisal, Putrajaya FA mempunyai kelab-kelab gabungan di bawah naungannya.
“Setiap keputusan persatuan ini mestilah melalui proses-proses yang telah dipersetujui oleh ahli jawatankuasa dan mengambil kira pandangan kelab-kelab gabungan.
“Namun demikian, sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab membangunkan sukan bola sepak di Putrajaya, persatuan ini sentiasa mengalu-alukan pelbagai pihak untuk bekerjasama supaya agenda pembangunan pasukan bola sepak di Putrajaya dapat terus dijayakan,” ujar beliau.
Pada 12 Oktober, Annuar Musa menerusi akaun Twitternya berkata: “Mungkin WP PUTRAJAYA turut mempunyai pasukan bolasepaknya sendiri musim depan dan bersaing di Liga M”. -MalaysiaGazette