KUALA LUMPUR – Wabak COVID-19 menjejaskan semua lapisan masyarakat, termasuk graduan baharu yang kini berdepan lebih banyak kesukaran untuk mendapatkan kerja.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pengambilan majikan untuk graduan-graduan baharu adalah sangat rendah pada tahun ini.
Beliau berkata, sehingga 50 peratus mahasiswa yang tamat pengajian perlu menunggu enam bulan untuk mendapat kerja, dan tugas yang diterima juga tidak semestinya padan dengan latar belakang akademik mereka.
“Mereka tidak boleh menunggu untuk peluang pekerjaan yang betul-betul sesuai, tetapi perlu menerima apa sahaja pekerjaan yang ada.
“Jangan berbincang pasal gaji dahulu kerana yang lebih penting adalah memperoleh pengalaman dan menambahkan peluang untuk mendapat pekerjaan lain pada masa depan,” katanya kepada China Press.
Shamsuddin berkata, kebanyakan majikan tidak mengambil pekerja khususnya pekerja kekal pada masa ini.
“Jika menggaji, majikan lebih cenderung menawarkan jawatan berbentuk sementara waktu,” katanya.
Sementara itu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Kuala Lumpur dan Selangor telah memberi tamparan kedua kepada banyak perusahaan sehingga seorang pakar ekonomi berpendapat ia akan mempercepatkan proses gulung tikar sesetengah perniagaan.
L. L. Kong berkata, walaupun kebanyak aktiviti ekonomi masih berjalan, tetapi PKPB memberi kesan psikologi yang menyebabkan lebih banyak pengguna duduk di rumah sekali gus menjejaskan pertumbuhan sektor tertentu.
“Dengan ketiadaan pelancong asing dan kekurangan pengunjung tempatan, peruncit dan pusat membeli-belah akan menerima tamparan besar,” katanya kepada China Press.
Beliau berkata, walaupun sumber pendapatan berkurangan, tetapi perusahaan masih perlu membayar gaji, cukai dan sewa terutamanya dalam keadaan pelbagai insentif kerajaan sudah tamat.
“Benda yang mampu dilakukan perusahaan sekarang hanyalah mengurangkan harga bagi menarik pelanggan. Ini juga merupakan cara untuk menyelesaikan masalah aliran tunai yang kritikal,” katanya.
Kong menjangkakan masa yang lebih panjang diperlukan untuk memulihkan ekonomi negara. – MalaysiaGazette