Home Politik Anwar ‘jangan main cakap sahaja’ – Gerakan

Anwar ‘jangan main cakap sahaja’ – Gerakan

Datuk Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Dalam keadaan getir Covid-19 masih ada  pemimpin politik di negara ini terus merencanakan agenda demi kepentingan mereka dan bukan mengutamakan rakyat.

Itu luahan Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau berhubung landskap politik tanah air yang jelas begitu huru hara kerana segelintir pihak.

Beliau memberi gambaran tindakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini tidak kena dengan tempat malah apa sahaja yang didakwanya juga superti tidak mempunyai fakta mahu pun bukti.

“Rakyat sebenarnya sudah letih ketika ini. Ada yang lebih penting pada masa ini dengan pandemik terus mengganas. Keadaan tidak stabil, Covid-19 telah memberi impak  negatif kepada ekonomi negara.

“Rakyat juga ketika ini berada dalam kesusahan dan amat perit untuk kita luahan melalui kata-kata, jadi apakah ini satu keperluan untuk segelintir ahli politik terus berpolitik sepanjang waktu? Apakah kepentingan rakyat yang kononnya menjadi ikrar ahli politik di pandang sepi?

“Kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, tolonglah. Janganlah asyik dengan agenda rampas kuasa sahaja. Hakikatnya, anda juga mempunyai tanggungjawab. Jangan main cakap sahaja punya sokongan besar.

“Sebaliknya kamu perlu juga membuktikan dengan senarai yang menyokong, jangan hanya bercakap dan terus dakwaan sana-sini, proses pembentukan kerajaan perlu dibuktikan dengan jelas terutama mengenai peralihan sokongan ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Janganlah terus bermain politik ketika rakyat sedang dalam kesusahan, banyak cabaran tangani pandemik Covid-19 ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Gerakan di Menara PGRM hari ini.

Sebelum ini Istana Negara melalui kenyataan berkata Anwar tidak mengemukakan senarai nama ahli Parlimen yang menyokongnya setakat ini memberi gambaran bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak hilang majoriti.

Malah nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (YDPA) supaya Anwar akur dan menghormati proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan menunjukkan proses pelantikan Perdana Menteri sekaligus pembentukan kerajaan belum dipenuhi.

Kata Dominic, pihaknya sebulat suara akur dan menerima titah YDPA semalam yang menitahkan semua Ahli Parlimen supaya tidak mengheret negara ke kancah politik tidak menentu dalam suasana wabak Covid-19 menyulitkan rakyat.

Sebaliknya ahli politik negara ini perlu menyelesaikan permasalahan di antara mereka, menerusi perundingan dan proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Gerakan akan melancarkan  petisyen menyokong titah YDPA terutamanya pada masa ini, ini adalah waktu paling sukar untuk semua, ini bukanlah masa untuk bertelagah dan rampas kuasa,” ujar Dominic.

Dalam pada itu, Dominic juga berikrar parti Gerakan akan terus menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri menerajui negara. – MalaysiaGazette