KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan kerajaan mengadakan pilihan raya umum (PRU) secara bersih bagi menangani kemelut politik yang berlaku sekarang.
“Beberapa hari ini saya ada berbicara dengan pihak-pihak yang terlibat dalam politik negara. Saya berbual Perdana Menteri (menerusi video conference), Tun Mahathir Mohamad (telefon), Tengku Razaleigh Hamzah (telefon) dan beberapa menteri (melalui telefon dan ada yang datang ke rumah).
“Jika saya boleh membuat kesimpulan, saya rasa, atas ‘kenakalan’ politik yang ada, kita memerlukan PRU segera,” ujarnya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Walaupun ramai berkata, PRU pada musim Covid-19 bahaya namun Mohd Asri beranggapan ia peluang diadakan PRU secara lebih bersih.
“Disebabkan faktor Covid-19, maka dalam PRU kali ini dilarang kempen secara fizikal. Ertinya, tiada ceramah umum, ceramah kelompok, kempen rumah ke rumah, edaran risalah dan seumpamanya. Hanya yang dibenarkan kempen melalui media sosial.
“Jika hal itu berlaku, maka kos kempen akan dapat dijimatkan. Ia akan memberikan peluang yang lebih setara kepada semua pihak yang bertanding. Rakyat juga tidak perlu membazirkan keluar rumah atau terganggu dengan dengan kedatangan calon-calon ke tempat mereka,” katanya lagi.
Melalui cara itu, beliau berkata, kuranglah permusuhan dan ketegangan terbuka dan berharap ia dapat mengurangkan rasuah politik semasa berkempen. Pilihanraya akan jadi lebih adil untuk semua.
“Apa yang perlu, kerajaan kena tegaskan SOP. Calon yang melanggar, boleh dibatalkan pencalonan. Aktivis yang melanggar didakwa dan didenda.
“Apabila tiba hari mengundi, rakyat keluar dengan SOP. Rakyat beratur seperti kita ke bank dan lain-lain pada masa ini dengan SOP yang ditetapkan,” katanya.- MalaysiaGazette