KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan satu sindiket yang disyaki terlibat dengan aktiviti pelacuran antarabangsa, penipuan Macau Scam dan urusniaga mata wang kripto dengan tertangkapnya 16 orang termasuk dua warga tempatan malam tadi.
Kesemua suspek berusia antara 21 hingga 48 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berbeza yang bermula pukul 2 petang di Kajang dan Cheras oleh Pasukan Pencegahan Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, polis menahan lapan suspek warga China, termasuk seorang wanita, dalam serbuan pertama di sebuah Kondominium mewah di Kajang pada pukul 2 petang
Katanya, dalam serbuan itu pihaknya merampas dua komputer riba, dua telefon bimbit dan dua kertas catitan jadual kerja harian.
“Hasil siasatan lanjut polis kami mengesyaki mereka membuat promosi pelacuran mensasarkan pasaran mangsa di China yang mana terdapat juga unsur berupa pelaburan penipuan Macau Scam iaitu segala dealings (urusniaga) berlaku di China tetapi promosi dibuat secara meluas di negara ini.
“Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 372b Kanun Keseksaan atas kesalahan memperomosikan aktiviti pelacuran di samping mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya kepada pemberita.
Menurut Huzir, hasil soal siasat kesemua suspek itu polis melakukan serbuan kedua ke atas rumah teres dua tingkat Jalan Bukit Tiara, Cheras dan lapan lagi suspek ditahan.
Daripada jumlah itu, enam warga adalah China, termasuk dua wanita, manakala dua lagi warga tempatan iaitu seorang lelaki dan wanita.
Tambah Huzir, hasil pemeriksaan lanjut polis merampas tiga komputer riba, sebuah iPad dan empat telefon bimbit.
“Semasa pemeriksaan lanjut polis juga berjaya menjumpai wang tunai RM2,495,000 dalam tiga beg di beberapa buah bilik di rumah mereka dan juga beberapa biji pil dipercayai dadah sintetik.
“Hasil pemeriksaan di dalam komputer riba yang dirampas dari suspek, terdapat beberapa aplikasi menjurus kepada mata wang kripto yang mana kita kesan website dalam komputer riba itu dan kesemua ahli sindiket berada di dalam negara ini lebih dua bulan mengoperasikan kegiatan haram itu.
“Kesemua disiasat di bawah Seksyen 41(a)(g) dan (h) Akta Pertaruhan serta Akta Imigresen dan rampasan keseluruhannya lima komputer riba, dua iPad, 24 telefon bimbit serta dadah dan wang tunai (hampur)RM2.5 juta,” ujar beliau.
Ditanya sumber wang berkenaan, Huzir berkata, beliau percaya kumpulan itu terlibat dalam pengubahan wang haram dan terlibat dalam kegiatan terlarang dengan menyimpan wang tunai dalam jumlah yang besar di rumah.
Tambah beliau, promosi pelacuran pula menyasarkan pasaran China dan aktivitinya dilakukan menerusi internet.
“Kita juga percaya ini adalah pusat panggilan dan pasarannya di China manakala seorang lelaki dan perempuan warga tempatan yang turut ditangkap bersama 14 lagi warga China itu berperanan sebagai penyelaras kesemua warga china dengan mendapatkan rumah untuk mereka bagi menetap dan mengoperasikan sindiket scam itu di sini,” katanya. – MalaysiaGazette