TEHRAN – Satu larangan senjata konvensional antarabangsa terhadap Iran, yang dikenakan 13 tahun lalu oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), akan berakhir secara rasmi pada hari Ahad.
Ini bermaksud Iran secara sah dapat membeli dan menjual senjata konvensional, termasuk senjata kecil, peluru berpandu, helikopter dan kereta kebal.
Sekatan senjata yang berakhir itu adalah sebahagian daripada Resolusi 2231 perjanjian nuklear 2015 yang ditandatangani antara Iran dan kuasa dunia yang memberikan pelepasan sekatan kepada Iran sebagai pertukaran untuk mengekang program nuklearnya.
”Mulai hari ini, semua larangan pemindahan senjata, aktiviti berkaitan dan perkhidmatan kewangan ke dan dari Iran … semuanya dihentikan secara automatik,” kata Kementerian Luar itu dalam satu kenyataan.
Amerika Syarikat (AS) secara sepihak menarik diri dari perjanjian nuklear pada Mei 2018, apabila Presiden Donald Trump menyatakan ia sebagai “perjanjian terburuk yang pernah ada” dan sejak itu Washington telah mengenakan sekatan ekonomi yang ketat ke atas Iran.
AS dan Israel telah menentang keras penarikan semula larangan penjualan senjata dan telah berulang kali berusaha menghentikannya.
Mengulas mengenai hari bersejarah ini, Presiden Iran Hassan Rouhani berkata: “Hari ini akan menjadi hari yang tidak dapat dilupakan dalam sejarah diplomasi negara kita dan saya mengucapkan tahniah kepada kekuatan dunia dalam menghadapi unilateralisme AS.
Rouhani turut memberi amaran bahawa Iran akan memberi “respons tegas” jika AS berusaha menggertak negara-negara lain untuk mematuhi pengembalian sekatan AS.
Minggu lalu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Saeed Khatibzadeh dalam sidang akhbar di Teheran berkata, penarikan semula sekatan akan berakhir pada 18 Oktober, walaupun AS berusaha untuk menyekatnya.
“Iran telah menunjukkan sekali lagi bahawa AS tidak terlalu hebat daripada apa yang mereka nyatakan,” katanya, sambil menambah bahawa pengakhiran sekatan senjata ke atas Iran menandakan “kekalahan bersejarah” bagi AS.
Dalam pada itu, Iran berkata, negara itu tidak melihat ada keperluan untuk pembelian senjata luar sebaliknya bergantung kepada pertahanan sendiri
“Doktrin pertahanan Iran berdasarkan kepada pergantungan kuat oleh rakyatnya dan kemampuan pribumi … Senjata konvensional, senjata pemusnah besar-besaran dan pembelian senjata konvensional tidak mempunyai tempat dalam doktrin pertahanan Iran,” kata kementerian itu. – MalaysiaGazette