Home Politik Jika surat palsu mengapa tidak lapor polis dan MCMC?

Jika surat palsu mengapa tidak lapor polis dan MCMC?

Surat yang tersebar mendakwa ditulis oleh Zahid dan Najib kepada istana menyatakan sokongan kepada Anwar.

KUALA LUMPUR – Seandainya benar surat yang menggunakan kepala surat UMNO yang memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, maka ia tidak harus dipandang mudah.

Surat itu turut ‘menjaja’ nama baik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Menurut sumber, ada baiknya jika penularan surat itu di laman media sosial dilaporkan kepada pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Ini bukan benda yang boleh dibuat main. Kehadiran surat-surat itu juga telah menimbulkan kekacauan untuk seketika dan rasa tidak senang hati, ketidakstabilan politik.

“Semestinya jika ianya dibiarkan begitu sahaja nanti makin menjadi dan makin berani ‘pelaku’ itu. Selalunya jika berlaku perkara seperti ini, ramai sahaja tampil buat laporan polis.

“Mengapa kali ini tidak ada tindakan sedemikian? UMNO telah tampil menafikan kepala surat itu sahih sebaliknya mendedahkan tidak pernah surat sedemikian dihantar oleh Zahid.

“Ada segelintir masih lagi tertanya-tanya apakah ini sahih atau tidak, jadi lebih baik buat laporan kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan.

“Sememangnya pelik sungguh politik Malaysia sejak akhir-akhir ini lagi-lagi ketika kita sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang seperti langsung tidak memberi kesan kepada pelaku seperti ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Semalam sepucuk surat bertarikh 11 Oktober lalu yang menggunakan kepala surat UMNO mendakwa ia ditulis oleh Ahmad Zahid yang antara lain menyatakan sokongan Ahli Parlimen UMNO kepada Anwar sebagai calon Perdana Menteri kesembilan.

Kandungan surat itu yang ditandatangani Ahmad Zahid dan disaksi serta disokong Najib selaku Penasihat Barisan Nasional (BN) antara lain mengesahkan Ahmad Zahid bersama Najib dan sejumlah Ahli Parlimen UMNO telah menarik balik sokongan dan kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Namun sejak penularan surat itu tampil beberapa pemimpin UMNO menafikan dakwaan memberi sokongan kepada Anwar.

Antaranya Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin. -MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Banyak lagi kerja polis dari layan perkara yang merapu ini, hanya perlu telefon pihak istana samada ya atau tidak. Habis cerita.

Comments are closed.