KUANTAN – Dua juruterbang pesawat Hawk 108 yang dilaporkan hilang, ditemui maut di kawasan hutan paya, Chukai, Kemaman.
Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Affendi Buang dalam sidang media di sini memaklumkan dua juruterbang itu ialah Mejar Hasri Zahari, 31, dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39.
15June2017/Pahang(Kuantan)1600hrs – Sidang media berkenaan pesawat TUDM yang dilaporkan terputus hubungan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang. Salam takziah dari kami #inforoadblock. Innalillahi wainnailaihirojiun….perginya mengadap ilahi.
Posted by Info Roadblock JPJ/POLIS on Khamis, 15 Jun 2017
Pesawat itu berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan pada 11 pagi tadi, sebelum terputus hubungan setengah jam kemudian.
“Kemalangan berlaku kira-kira 33 batu dari Pangkalan Udara Kuantan, kedua-dua juruterbang telah meninggal dunia dalam kemalangan tersebut. Mayat mereka ditemui pada jam 2.30 petang,” kata Affendi.
Bagaimanapun, menurut beliau, bangkai pesawat masih belum ditemui dan operasi mencari sedang dijalankan,
Katanya, berdasarkan penemuan payung terjun bersama mayat, kedua-dua mangsa, dipercayai telah keluar dari pesawat bagaimanapun belum dapat dipastikan paras ketinggian ketika itu.
Beliau berkata, kedua-dua mayat ditemui pada jarak 20 meter antara satu sama lain dan mayat telah dibawa ke Hospital Tunku Ampuan Afzan, Kuantan untuk bedah siasat.
Katanya, satu badan penyiasat ditubuhkan untuk mengenal pasti punca kemalangan yang berlaku tidak jauh dari perkampungan Cukai itu.
Selain itu, beliau memberi jaminan bahawa kebajikan keluarga kedua-dua anggota untuk masa terdekat akan diberi perhatian yang paling tinggi.
Pada masa ang sama beliau juga mengarahkan semua penerbangan melibatkan pesawat Hawk 108 digantung sementara waktu atas faktor keselamatan.
Mengulas lanjut, Affendi memberitahu, kedua-dua juruterbang adalah berpengalaman di mana Mejar Yazmi telah berkhidmat selama 19 tahun dan kini merupakan jurulatih penerbangan manakala Mejar Hasri yang berasal dari Negeri Sembilan pula telah bersama TUDM selama 13 tahun.
Kedua-duanya bertugas di 6 Skuadron Labuan.
Katanya, insiden hari ini adalah yang kelima melibatkan Hawk 108 sebelum kejadian terakhir lebih 10 tahun lalu. – MalaysiaGazette