KUALA LUMPUR – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menegaskan kemelut dalaman dihadapi oleh parti serpihan, Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak mempunyai kaitan dengan UMNO sama sekali.
Armand menyifatkan langkah menunding jari mengatakan kononnya UMNO di sebalik kemelut yang dihadapi parti itu tidak masuk akal sama sekali dan cuba menutup kesalahan yang dilakukan oleh pimpinan parti mereka.
“Tetapi isu yang utama saya lihat hari ini adalah apabila mana-mana pihak, ahli mahupun rakyat yang mempertikaikan PPBM dan menyokong Kerajaan, pihak mereka akan terus melabelkan individu tersebut sebagai pemakan dedak dan ejen UMNO .
“Mereka melabelkan sebegitu untuk memastikan tiada siapa termasuk kepimpinan PPBM akan bersuara menentang agenda PPBM. Ini salah satu modus operandi bagi menutup mulut dan sokong secara membabi-buta,” kata Armand yang dipetik berkata hari ini.
Jelasnya, kemelut yang dialami PPBM adalah umpama balasan terhadap apa yang mereka lakukan sebelum ini semasa berada dalam UMNO dimana sering menyerang pucuk pimpinan dengan tuduhan tidak berasas.
“Hari ini PPBM, usia pun masih dalam pra-matang, mereka sudah dilanda pelbagai masalah, bukan sekadar yang keluar PPBM, malah ada antara mereka yang masih memegang jawatan menyatakan hilang kepercayaaan pada kepimpinan mereka sendiriā, katanya.
Beliau mengulas mengenai kemelut perebutan kuasa di dalam PPBM Perak sehingga Ketua Armada mendesak Naib Presiden PPBM letak jawatan.
Namun apabila Exco Armada di bawah kepimpinan Syed Saddiq sendiri membuat kenyataan untuk mendesak dapatkan penjelasan isu kekayaan anak-anak Tun Dr Mahathir Mohamad dan isu skandal Presiden PPBM yang dikhabarkan ada hubungan sulit dengan isteri orang, akhirnya Ketua Armada dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan akan dibawa ke lembaga disiplin kerana tidak mengikut dan akur pada kepimpinan PPBM. – MalaysiaGazette.