Home Nasional Kondominium mewah sarang sindiket judi online

Kondominium mewah sarang sindiket judi online

KUALA LUMPUR – Seramai 43 lelaki dan lima wanita warga China berumur di antara 21 hingga 47 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti judi online ditahan dalam serbuan di tiga buah kondominium baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, polis turut merampas 26 buah komputer riba, 245 telefon bimbit, 15 unit CPU dan 4 unit modem dalam serbuan pada Jumaat lalu.

Kesemua barang rampasan yang dibawa ke IPD Wangsa Maju, Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut itu dianggar bernilai RM250,000.

“Hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket ini adalah mempromosi Judi Atas Talian (JOL) bagi pasaran negara China dengan menghantar ratusan pesanan Wechat / Whattapp / QQChat kepada pelanggan di China dan telah beroperasi selama lebih kurang 6 bulan,” katanya menerusi kenyataan.

Kesemua tangkapan ditahan reman selama tiga hari sehingga 19 Oktober 2020 dan akan disambung untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6(1)(c) Imigresen1959/63.

Menurut Rajab Ahad, sindiket kini menggunakan kondominium mewah dan rumah banglo untuk dijadikan sebagai tempat beroperasi.

“Pihak Polis mendapati premis ini di sewa dengan kadar RM11,000 hingga RM12,000 sebulan,” tambah beliau.

Sementara itu, Rajab Ahad meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan di kawasan tempat tinggal masing-masing. -MalaysiaGazette

+ posts