BESTARI JAYA – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memberi jaminan gangguan bekalan air tidak berjadual di Lembah Klang dijangka kembali pulih sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam.
Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia susulan pencemaran bau yang dikesan di Sungai Selangor tidak serius berbanding insiden sama di Sungai Gong, Rawang, September lalu.
“Kawasan pencemaran bau kali ini tidak sama apa yang berlaku di Sungai Gong, Rawang. Bau sylvan hampir sama dengan Sungai Gong, cuma dulu lebih tinggi, kali ini maksima kita dapati hanya 3 TON.
“Kalau dulu bacaan pencemaran bau mencecah 9 TON. Setakat 1.30 petang ini, bacaan sangat nipis dan kita jangka boleh sambung semula bekalan air.
“Dalam tempoh 24 jam bekalan air akan pulih Insya-Allah,” katanya pada sidang media di Muka Sauk Sungai Selangor Fasa II, hari ini.
Terdahulu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd hari ini memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas sejak jam 2 pagi tadi susulan pihaknya mengesan pencemaran bau di dalam Sungai Selangor.
Susulan henti tugas keempat-empat LRA terbabit, gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.
Dalam pada itu, pihaknya turut mengenal pasti pencemaran bau itu berpunca daripada kawasan perkilangan, namun penjenayah alam sekitar terlibat masih dalam siasatan.
“Punca utama adalah kawasan kilang. Kita tengah siasat, puncanya kita belum dapat pastikan kawasan mana, kadangkala punca jauh.
“Kadang-kala pembersihan jentera dan sebagainya masuk longkang, nak sampai ke sungai kadang-kala sampai 7km, hingga 20km.
“Mahu atau tidak air longkang akan masuk ke sungai dan akan beri kesan langsung kepada sungai,” jelasnya.
Menurutnya, modes operandi penjenayah alam sekitar adalah melakukan pembuangan sisa industri pada waktu tengah malam ataupun hujung minggu.
“Walaupun pihak Jabatan Alam Sekitar beroperasi 24 jam, kawasan sepanjang sungai pula sangat luas, tidak mungkin kita dapat kawal sepanjang waktu, jadi mereka kesempatan itu diambil.
“Pihak kementerian, kita tidak akan berkompromi dengan penjenayah alam sekitar.
“Terima kasih kepada pihak polis kerana bekerjasama bantu kesan penjenayah alam sekitar, doakan kita dapat ambil tindakan dalam masa terdekat,” katanya.
Tuan Ibrahim juga menafikan dakwaan kononnya air Sungai Selangor bertukar menjadi merah sebaik sahaja air longkang tercemar mengalir dari kawasan perindustrian Sungai Gong.
“Saya rasa tidak, sebab kalau kita tengok warna air ia tidak berubah cuma ada pencemaran bau sahaja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette