Home Nasional Henti aktiviti sosial untuk elak jangkitan Covid-19 – Noor Hisham

Henti aktiviti sosial untuk elak jangkitan Covid-19 – Noor Hisham

Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Semua aktiviti sosial perlu dihentikan buat sementara waktu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa.

Langkah itu perlu sebagai usaha bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, demikian saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ia termasuk kegiatan sukan, sosial dan pelajaran dalam lokaliti yang dikenalpasti wajar dihentikan terlebih dahulu.

“Kita sekarang menggunakan PKPB di negeri tertentu iaitu di Lembah Klang dan Sabah apa yang perlu diperketatkan ialah PKPB, bukan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita izinkan sektor ekonomi berfungsi tetapi sektor lain seperti sukan, sosial dan pelajaran dalam lokaliti yang dikenalpasti supaya boleh setakat ini dihentikan dulu.

“Apa yang penting, kita nasihatkan mereka yang berada di Lembah Klang dan Sabah, kalau boleh duduk di rumah kerana virus ada dalam komuniti,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Noor Hisham berkata, apa yang penting ialah mereka yang tidak mempunyai urusan penting agar terus berada di umah bagi mengelakkan mereka dijangkiti virus Covid-19.

Beliau turut memberitahu, kaedah itu sudah dibuktikan berjaya mengurangkan jangkitan wabak tersebut sebelum ini.

Terdahulu, kerajaan sebelum ini membenarkan aktiviti gimnasium, padang bola sepak komersial dan pusat futsal dalam kawasan PKPB beroperasi semula dengan syarat ia perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Noor Hisham memberikan amaran negara mungkin mengalami kenaikan empat digit kes Covid-19 akhir bulan ini jika kadar jangkitan atau R0 tidak menurun.

Nilai R0 digunakan untuk mengira seberapa pantas Covid-19 merebak.

Tegas Noor Hisham, nilai R0 ketika ini 1.5 mesti diturunkan.

“Kami memulakan (gelombang ke-3 Covid-19) dengan 2.2, tetapi hari ini jika anda mengikuti lekukannya adalah 1.5.

“(Itu) tidak cukup baik. Sekiranya anda meneruskan 1.5, status quo, ini bermakna pada 31 Oktober kita akan mendapat 4 digit (bagi kes),” ujarnya. – MalaysiaGazette