Home Seni Hidup Mael Totey The Movie kembang bakat Syahmi

Mael Totey The Movie kembang bakat Syahmi

Poster Mael Totey The Movie.

KUALA LUMPUR – Selebriti Youtube, Syahmi Sazli, Yoe Parey dan Asif Suhaimi yang sering berjaya mencuri tumpuan penonton menerusi video pendek sebelum ini

Gelagat mereka yang bersahaja dengan menggunakan dialek Kelantan dalam menjayakan karakter yang dibawa ternyata memberi kelainan buat tontonan penonton.

Sokongan peminat mendorong Syahmi Sazli tampil dengan filem arahan pertamanya, Mael Totey The Movie.

Mael Totey The Movie (MTTM) mengangkat genre drama komedi dan akan menemui penonton di pawagam rumah anda, Astro First saluran 480 mulai 22 Oktober ini.

Gelaran ‘totey’ sememangnya tidak asing dalam kalangan masyarakat Kelantan.

Watak utama yang dibawa oleh Syahmi Sazli di dalam filem, bakal menterjemahkan gelaran tersebut menerusi karakternya.

Turut membintangi filem adalah selebriti Youtube Yoe Parey, Asif Suhaimi, Emaleen Minhad, Aween Ismail serta pelakon tanah air seperti Hushairi Hussain, Daler Yusof, Aznah Hamid, Kamarool Yusoff dan ramai lagi.

Penerbit dan juga Pengarah Filem Mael Totey The Movie, Syahmi Sazli berkata, sebelum ini beliau ada terlibat sebagai pelakon dalam sebuah filem dan bermula dari situ, rata-rata peminat memberi galakan untuk hasilkan filem saya sendiri.

“Kebetulan memang sudah ada idea asal Mael Totey tetapi ia untuk drama bersiri bagi tayangan di televisyen. Selepas berbincang, akhirnya karya ini diangkat menjadi filem.

“Perasaan saya sangat gementar kerana ini adalah kali pertama mengarahkan filem dan berlakon sekali.

“Dalam pada itu, saya juga gembira kerana berpeluang untuk bekerjsama lebih rapat dengan barisan kru berpengalaman luas dalam penghasilan filem.

“Semoga filem pertama arahan saya ini dapat diterima penonton dan mampu menjadi pemangkin buat saya bersama tenaga produksi untuk terus berkarya,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Astro Shaw
membawakan filem hasil produksi dan arahan pertama selebriti media sosial, Syahmi Sazli terus ke pawagam rumah anda, Astro First.

Menurutnya, filem berkenaan akan ditayangkan di Astro First saluran 480 mulai 22 Oktober ini dengan caj RM15.

MTTM mengisahkan seorang pemuda lurus bendul, Mael yang berusaha pelajari Bahasa Inggeris demi memenuhi syarat gadis idamannya, Yaya tetapi Mael bertemu cinta sejatinya bersama cikgu Bahasa Inggeris yang mengajarnya.

Konflik antara Mael, cikgu dan Yaya diselesaikan oleh empat budak istimewa, Asif, Yoe, Yatin dan Bedul.- MalaysiaGazette