KUALA LUMPUR – Melihat kepada senario politik dalam negara yang dilihat tidak stabil sekarang menjadikan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak akan dapat dielakkan untuk diadakan walaupun tempohnya belum satu penggal.
Bagaimanapun menurut, Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose, ia sudah tentu ia tidak boleh diadakan pada tahun ini kerana situasi terkini penularan Covid-19 yang harus dipertimbangkan.
Namun katanya, sekiranya penularan pandemik kembali reda maka PRU-15 boleh diadakan – paling cepat adalah pada suku pertama tahun depan.
Buat masa ini, beliau berkata, tindakan terbaik adalah penegasan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang Seri Paduka tidak akan melayan sebarang gerakan politik daripada mana-mana pihak yang boleh menyebabkan ketidakstabilan kerajaan sehingga suatu masa yang sesuai.
“Saya tengok senario keseluruhan sekarang, kena ada satu kuasa lain atau strategi lain untuk meredakan perkembangan semasa. Jika tidak negara akan lingkup.
“Sekarang kita perlukan kuasa yang ada di tangan Agong untuk mengisytiharkan beliau tidak akan melayan sebarang gerakan politik sebaliknya tumpukan kepada membaiki dan membangun negara. Kalau itu berlaku semua orang perlu akur,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Raduan, melalui titah Agong nanti sudah tentu semua pihak perlu akur dan bersabar sehingga masa yang sesuai untuk melakukan apa juga tindakan politik.
“Cuma kena tunggu masa yang sesuai kalau kita berjiwa besar itu itu lebih baik, maka tunggulah. PRU-15 memang tidak boleh dielakkan tetapi bukan masa ini, sementara itu kita kena terima kerajaan yang ada dan beri peluang semua yang ada,” tambahnya.
Kenyataan Raduan dalam masa yang sama mengesahkan tidak ada keperluan untuk jawatan Perdana Menteri itu disandang secara sementara oleh individu lain.
Baru-baru ini, suhu politik dalam negara kembali hangat selepas Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa telah berjaya menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Seri Muhyiddin Yassin menerusi sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Kemudian, kehangatan senario politik semakin dihangatkan apabila sepucuk surat menggunakan kepala surat UMNO tersebar kononnya ditulis Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tular.
Menerusi surat itu Zahid memaklumkan kepada Agong telah menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin dalam masa yang sama menyatakan beliau dan Datuk Seri Najib Razak menyokong Ketua Pembangkang.
Bagaimanapun telah diperjelaskan surat berkenaan adalah palsu.
Seterusnya muncul pula surat yang didakwa diajukan kepada Baginda oleh Anwar dengan mendakwa mempunyai 131 ahli Parlimen, sekaligus melayakkannya menjadi Perdana Menteri.
Apa juga gerakan politik yang berlaku sejak kebelakangan ini, Raduan berkata, jawatan Perdana Menteri masih milik Muhyiddin kerana beliau hanya boleh digantikan sekiranya bertindak meletakkan jawatan.
Mengulas lanjut isu dalaman yang berlaku pada Perikatan Nasional, beliau berkata Muhyiddin sebagai pengerusi perlu bijak menangani krisis dalaman secara berhemah.
Apa juga tindakan UMNO tidak wajar dilihat suatu gerakan menjatuhkan PN sebaliknya wajib dinilai agar PN dapat dikukuhkan dengan kerjasama baik di antara semua parti di dalamnya.
Bagi Raduan, keputusan melibatkan kerjasama dalam PN perlu dipertimbang secara holistik kerana ia memberi kesan kepada negara.
“ini bukan sebab UMNO tapi keadaan dalaman PN. Sepatutnya Muhyiddin pandai menangani isu itu sebab mereka berhadapan dengan rakan kongsi sepatutnya dia tahu macam mana nak ambil hati rakan kongsi.
“Tidak boleh mengambil keputusan untuk puaskan hati tapi kena fikir apa yang terbaik untuk negara,”katanya lagi.-MalaysiaGazette
Demokrasi menjadikan negara ini huruhara. Pilihlah contoh Negara Berunai Negara Pemerintahan Sultan Islam Aman Damai Duit Negara Selamat Tak Banyak Habis menanggung terbuang. Islam Menjamin Ummah Dan Keselamatan Negara Allah Tetap Melimpahkan Kurnia Rahmatnya. Amin Yarabbal Alamin.
Apa faedah siAnu mengadap YDPA sambil lengang kangkung tanpa membawa apa2?
InsyaAllah negara akan kembali stabil dibawah MN nanti, sama2 doakan!