Home Ekonomi Pusat Analitik Data bakal ditubuh secara berperingkat

Pusat Analitik Data bakal ditubuh secara berperingkat

Mohd Uzir Mahidin

PUTRAJAYA – Penubuhan Pusat Analitik Data Raya Negara akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka selesai dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, pelaksanaannya telah pun bermula bagaimanapun memerlukan sedikit masa sebelum Malaysia mempunyai sebuah sistem yang lengkap.

Jelasnya, penubuhan Pusat Analitik Data Raya Negara itu yang merupakan sebuah tempat penyelidikan berpusat amat penting dalam pembangunan Malaysia secara keseluruhan merangkumi kerajaan, syarikat swasta malah rakyat.

“Banyak negara yang gagal kemukakan statistik kerana kurang menekankan peranan pengumpulan dan analisis data.

“Malaysia amat memerlukannya kerana ekonomi kita sangat terbuka, kita menjalankan perdagangan dan sebagainya.

“Maka pelaburan dalam bidang statistik amat diperlukan, lagi pula negara kita mempunyai dasar yang pelbagai merangkumi sosia-ekonomi,” katanya semasa sidang media di sini.

Tambah Dr. Uzir, Jabatan Perangkaan Malaysia juga merancang untuk mengasah bakat-bakat pakar statistik sebelum dieksport ke jabatan lain dalam kerajaan dan juga swasta.

Tegasnya, pembinaan kemahiran berkaitan, tidak boleh dihasilkan di universiti sebaliknya kemahiran para perangkawan perlu diasah supaya mampu membuat penilaian dan pemantauan.

Ini bagi membolehkan kerajaan atau syarikat swasta membuat keputusan yang bijak dan telus bersandarkan analisis data yang disediakan perangkawan berkemahiran tinggi.

Menyentuh mengenai pindaan Akta Statistik 1965 yang akan dilakukan kerajaan, Uzir sangat mengalu-alukan tindakan tersebut.

Katanya, sudah tiba masanya akta yang sudah berusia 55 tahun itu dipinda sesuai dengan peredaran zaman dan peranan yang dimainkan oleh Jabatan Statistik Malaysia ketika ini.

Menurut Uzir, kali terakhir akta berkenaan disemak adalah pada 1989 dan itu hanya melibatkan semakan bahasa sahaja. -MalaysiaGazette