KUALA LUMPUR – Syarikat minuman, Coca-Cola Malaysia yakin pelaburan tambahan sebanyak RM500 juta pada awal tahun ini membuka langkah lebih besar pihaknya mengembangkan sayapnya di negara ini.
“Peruntukan itu antara lain bagi membina kilang tambahan di kawasan seluas empat hektar yang terletak bersebelahan kilang sedia ada berkeluasan 12 hektar di Nilai dan akan menempatkan gudang dengan teknologi terkini yang dilengkapi ruang penyimpanan automatik dan sistem pencarian serta teknologi yang mampu menjimatkan penggunaan tenaga,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Coca-Cola Bottling Investment Group bagi Singapura, Malaysia dan Brunei, Stephen Lusk.
Lusk juga berharap produktiviti Coca Cola di Malaysia dapat terus berkembang maju dalam memenuhi kepuasan pelanggan menerusi pelbagai produk, katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama media di sini baru-baru ini.
Malah menurutnya, fasa pertama pelaburan RM500 juta tertumpu kepada meningkatkan keupayaan pengeluaran produk pada akhir tahun ini.
“Apabila siap dalam tiga tahun lagi, anda dapat saksikan kita mulakan penjualan lebih banyak produk kita. Diversiti kepelbagaian budaya Melayu, Cina dan India memberi pasaran yang terbaik untuk kami berurusniaga,” ujarnya.
Menurutnya, Malaysia sebagai hab halal serantau dalam pengeluaran produk halal juga memberi kelebihan untuk Coca Cola mengembangkan pengaruhnya termasuk produk terbaharu iaitu Coca Cola tanpa gula yang kini mendapat sambutan menggalakkan.
Lusk juga berkata, program berbuka puasa bersama media merupakan julung kali diadakan pihaknya dan ia diadakan bagi tujuan merapatkan lagi hubungan bersama media.
“Majlis berbuka puasa ini lebih istimewa untuk Coca Cola kerana dapat bersama dengan kakitangan dan pegawai kami beragama Islam yang berpuasa di bulan Ramadan ini.
“Majlis berbuka puasa ini akan dikenang selalu kerana menjamu juadah istimewa dengan kakitangan Islam saya sebelum saya berhijrah ke London memulakan tugas baharunya kerana bertukar di sana,” ujarnya.- MalaysiaGazette