Home Utama Hanya 10% pekerja pengurusan dibenar hadir ke pejabat, had bekerja 4 jam...

Hanya 10% pekerja pengurusan dibenar hadir ke pejabat, had bekerja 4 jam sahaja

Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Seramai 776,135 orang pekerja atau 25 peratus pekerja dalam bidang pengurusan dan penyeliaan diwajibkan bekerja dari rumah mulai esok, selaras dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara.

Bagaimanapun, mengambil kira keperluan pihak industri yang memerlukan kehadiran sebilangan kecil pekerja peringkat pengurusan dan penyeliaan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersetuju untuk membenarkan maksimum 10 peratus daripada jumlah itu berada di pejabat.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, mereka yang terlibat adalah pekerja perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Tempoh yang dibenarkan berada di pejabat dihadkan selama 4 jam sahaja bermula jam 10 pagi sehingga 2 petang untuk tiga hari seminggu.

”Syarikat-syarikat tidak perlu mengemukakan permohonan bagi tujuan ini. Majikan hanya perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang dibenarkan bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

”Majikan perlu menetapkan garis panduan bekerja dari rumah yang bersesuaian mengikut keperluan syarikat masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kerajaan akan terus bekerjasama dengan pihak swasta dan industri dalam usaha untuk mempertingkatkan pelaksanaan bekerja dari rumah sebagai norma baharu selari dengan kecanggihan teknologi terkini dan aplikasi atas talian.

MITI akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan yang tegas bagi memastikan pelaksanaan dan pematuhan SOP dalam kalangan pihak industri, tambahnya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pekerja di peringkat pengurusan dan pengawasan dalam sektor awam dan swasta di Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah diarah bekerja dari rumah berkuat kuasa 22 Oktober ini.

Keputusan itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengurangkan pergerakan pekerja bagi mengekang penularan Covid-19.

“Ini merupakan arahan dan bukan lagi permintaan. Majikan diarah mengeluarkan surat pelepasan bagi pekerja-pekerja ini untuk bekerja dari rumah,” kata Ismail Sabri. – MalaysiaGazette