GOMBAK – Penutupan Jalan Gombak Lama menghala ke Genting Sempah berhampiran Simpang Kuari di Batu 16 di sini tiada kena mengena dengan tindakan seorang pelakon wanita yang berbasikal merentasi sempadan negeri.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, jalan berkenaan ditutup sepenuhnya pada pukul 8 malam semalam oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Gombak menggunakan penghadang simen atau ‘concrete barrier’.
“Tidak (artis wanita berbasikal). Jalan itu merupakan antara jalan yang dirancang akan ditutup tapi belum dibuat.
“Jadi malam tadi pukul 8 malam jalan itu sudah ditutup oleh JKR Gombak dan polis,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kejadian seorang pelakon wanita bersama rakannya yang berbasikal merentasi sempadan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Jalan Gombak Lama ke arah Genting Sempah pada 18 Oktober lalu.
Hari ini juga tular di media sosial tentang penutupan jalan tersebut dan rata-rata penguna media sosial mengaitkan penutupan tersebut dengan insiden penahanan artis wanita berkenaan semalam.
Dalam pada itu, Arifai berkata, pihaknya mendapati sebelum ini ramai pengguna jalan raya melalui Jalan Gombak Lama itu bagi mengelak sekatan jalan raya (SJR) di kedua-dua arah di Plaza Tol Gombak.
“Orang dari Bentong hendak elak SJR di Tol Gombak sebab itu guna jalan lama. SJR juga dibuat di jalan lama tapi bukan 24 jam, hanya 8 jam.
“Lepas itu saya dapati mereka ini cuba melalui Jalan Gombak Lama jadi kita terus tutup,” ujarnya.
Tambahnya lagi, mana-mana individu yang ingin menjalankan aktiviti sukan tidak bersentuhan yang dibenarkan ketika tempoh (PKPB) sama ada berbasikal atau sebagainya perlulah mematuhi prosedur operasi standard yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara dan tidak melakukan kegiatan tersebut melebihi masa-masa tertentu.
Terdahulu, seorang pelakon wanita bersama rakannya ditahan kerana menunggang basikal merentasi sempadan negeri di Jalan Gombak Lama ke arah Genting Sempah tanpa kebenaran pihak polis pada pukul 8.30 pagi, 18 Oktober lalu.
Kedua-dua wanita terbabit telah ditahan ketika tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pukul 8 malam semalam sebelum dibebaskan dengan jamin polis. – MalaysiaGazette