KUALA LUMPUR – Polis tidak akan sewenang-wenangnya melepaskan Addy Kana dan mereka yang telibat dengan kegiatan Macau Scam dan siasatan masih berjalan
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu mempromosikan judi atas talian selain memperdaya mangsa dengan melakukan pelaburan dalam pertukaran mata wang asing.
“Tangkapan Addy Kana dan seorang lagi individu yang masih bebas itu berperanan sebagai kordinator dan ejen penyedia sewa rumah kemudahan logistik dan teknologi internet terbukti menjadi satu kesalahan serius.
“Polis tidak akan melepaskan geng Addy Kana ini dengan mudah dan sewenang-wenangnya dan permohonan lanjutkan reman ke atas mereka di bawah Seksyen 4(2)(a) POCA (Akta Pencegahan Jenayah 1959) selama 38 hari lagi akan dipohon sekiranya tempoh reman sebelum ini tamat nanti,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman hari ini.
Malah menurut Huzir, Addy Kana mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah ditahan dibawah Ordinan Darurat jenayah samun.
Katanya, soal siasat polis terhadap suspek mendapati wujud elemen penipuan dalam aktiviti yang dijalankan sindiket itu dan soal siasat lanjut akan terus dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Katanya, berikutan tangkapan beberapa suspek, pihaknya telah melancarkan operasi pada Sabtu lalu membabitkan iaitu 12 serbuan di sekitar Lembah Klang.
“Kita berjaya menyerbu beberapa premis yang dipercayai menjalankan aktiviti-aktiviti Calling Centre (Pusat Panggilan) dan seramai 138 individu ditangkap.
“Daripada jumlah suspek pelaburan haram itu, 95 orang adalah warga China dan 43 lagi adalah orang tempatan, sekaligus berjaya menumpaskan sindiket Calling Centre yang beroperasi di Lembah Klang sementara usaha masih dilipatgandakan,” ujarnya.
Daripada 138 suspek yang ditahan itu, 55 orang akan dicadangkan dituduh di mahkamah di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1959 dan 85 individu lagi akan diambil tindakan di bawah POCA, ujarnya.
Huzir meberitahu, dalam serbuan terbaharu di Cheras, pihaknya berjaya menumpaskan satu sindiket berunsur pelaburan Macau Scam dan mata wang kripto yang mempromosikan pelacuran dengan menggunakan aplikasi QQ, We Chat dan Wei Bo.
Sementara itu, Huzir mmeberitahu, pihaknya akan mencadangkan kepada Kementerian Komunikasi dan Mutimedia (KKMM) untuk mengharamkan aplikasi We Chat, Wei Bo sebagai salah satu tindakan menyekat operasi Macau Scam. – MalaysiaGazette