Home Nasional Kematian Nhaveen akan disiasat sebagai kes bunuh – Khalid

Kematian Nhaveen akan disiasat sebagai kes bunuh – Khalid

Dalam kejadian Sabtu lepas, Nhaveen, 18, cedera parah akibat dipukul sekumpulan lelaki di Jalan Kaki Bukit, George Town sehingga mati otak selain mengalami kecederaan di bahagian dubur, meninggal dunia petang tadi selepas lima hari berada di Unit Rawatan Rapi, Hospital Pulau Pinang.
KUALA LUMPUR – Kes pukul dan dera remaja lelaki, T. Nhaveen kini akan disiasat sebagai kes bunuh selepas mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 6 petang semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan menukar siasatan kes itu setelah ia diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, susulan kematian remaja itu.

Sebelum ini, lima suspek berusia antara 16 dan 20 tahun yang dikaitkan dalam kes itu disiasat mengikut seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata.

Dalam kejadian Sabtu lepas, Nhaveen, 18, cedera parah akibat dipukul sekumpulan lelaki di Jalan Kaki Bukit, George Town sehingga mati otak selain mengalami kecederaan di bahagian dubur, meninggal dunia petang tadi selepas lima hari berada di Unit Rawatan Rapi, Hospital Pulau Pinang.

Seorang lagi rakannya, T. Previin, 19, dilapor turut dipukul oleh kumpulan berkenaan menggunakan topi keledar namun sempat meloloskan diri bagi mendapatkan bantuan.

Susulan kejadian itu, tiga remaja berusia 18 hingga 19 tahun yang tamat reman esok akan direman semula manakala dua pelajar tingkatan empat dan lima juga akan dibawa ke mahkamah untuk mendapat perintah reman bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Terdahulu Khalid mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menunaikan solat Tarawih dan diikuti jamuan moreh bersama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Masjid Bukit Aman, di sini.

Pada majlis itu, Najib menyampaikan sumbangan RM150,000 kepada Masjid Bukit Aman dan Persatuan Keluarga Polis (Perkep).

— BERNAMA