KUALA LUMPUR – Pada awalnya, niat Azhan Dziaruddin, 39, membawa kucing kesayangannya Jibek yang berbaka kacukan Maine Coon dan domestik mendaki gunung disebabkan ketiadaan orang untuk menjaga “anak bulusnya” itu sewaktu peninggalannya.
Namun siapa sangka, Jibek, nama yang terhasil gara-gara kegemaran haiwan itu menjilat beg, kini menjadi “buddy” atau peneman setia Azhan yang merupakan penggiat sukan lasak khususnya mendaki gunung sejak 1999.
“Saya duduk bersendirian di rumah sewa, ketika saya baru mula menjaga Jibek pada 2016, saya menghadapi masalah untuk meninggalkannya kerana tiada siapa yang mahu menjaganya.
“Jadi, saya bertekad untuk membawanya memanjat Gunung Nuang di Hulu Langat. Ketika itu, usianya enam bulan dan awalnya saya juga agak bimbang jika dia meragam tetapi saya terkejut apabila dia begitu menyukainya sehinggakan tidak mahu diletakkan di dalam beg galasnya,” katanya kepada Bernama
Hingga kini, Jibek telah menawan lebih 30 gunung termasuk tujuh gunung paling tinggi di Malaysia yang juga dikenali sebagai G7 iaitu Gunung Tahan dengan ketinggian 2,190 meter (m), Gunung Chamah (2,171 m), Gunung Yong Yap (2,168 m), Gunung Ulu Sepat (2,158 m), , Gunung Korbu (2,183 m), Gunung Yong Belar (2,181 m) dan Gunung Gayong (2,173 m).
Bagaimanapun, kata Azhan, tujuan utamanya membawa kucing jantannya yang kini berusia empat tahun itu mendaki gunung adalah membuktikan aktiviti tersebut boleh dilakukan dengan haiwan kesayangan.
“Namun, persiapannya perlu dilakukan dengan lebih rapi dan teliti seperti makanan, baju hujan, baju sejuk, ubat-ubatan serta pakaian hariannya terutamanya apabila bermalam di sesuatu kawasan,” katanya.
Selain mendaki gunung, Jibek yang mudah mesra dengan manusia telah melakukan pelbagai aktiviti lasak lain seperti flying fox dan paragliding selain Azhan berhasrat membawa kucingnya itu melakukan aktiviti abseiling dan water rafting.
“Buat masa ini, saya belum berniat untuk lakukan sukan berakit bersama Jibek kerana dia takut dengan bunyi air terjun yang terlalu kuat dan deras.
“Jika air sungai dalam keadaan tenang, tiada masalah, malah saya boleh rendam ia begitu sahaja. Sekarang ini saya tengah latih supaya ia tidak takut bunyi air deras,” katanya, menambah Jibek bukan sahaja boleh menghidu kehadiran haiwan liar tetapi juga perkara ghaib yang berlaku di sekeliling mereka ketika berada di hutan.- BERNAMA