Home Nasional Kes Khairuddin, Noor Hisham kata rujuk semula kenyataannya

Kes Khairuddin, Noor Hisham kata rujuk semula kenyataannya

Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah meminta semua pihak merujuk kembali kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini berhubung Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang didakwa tidak menjalani kuarantin selepas pulang dari Turki, Julai lalu.

Tanpa mengulas lanjut, beliau telah membuat kenyataan pada 25 Ogos lalu ketika ditanya mengenai kompaun terhadap Khairuddin.

“Saya telah ditanya soalan sama sebelum ini,” katanya ketika sidang media hari ini.

Beliau terdahulu ditanya mengenai alasan Jabatan Peguam Negara untuk tidak mendakwa Ahli Parlimen Kuala Nerus itu.

Noor Hisham kemudian berkata, sebagai pasukan barisan petugas hadapan, paling penting adalah memastikan segala Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi.

“Ia adalah untuk memastikan kita dapat melaksanakan perkhidmatan kepada awam,” tambahnya ringkas.

Untuk rekod pada 25 Ogos lalu, Noor Hisham menegaskan, pihaknya dan pengurusan tertinggi hanya mengetahui mengenai hal berkenaan pada minggu sebelumnya melalui laporan media.

Katanya, KKM telah menyediakan kertas siasatan kepada polis untuk tindakan lanjut sambil menyifatkan adalah tidak adil untuk memberi komen kerana bimbang ia mengganggu siasatan.

Atas rasa tanggungjawab selepas melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin, Khairuddin kemudian membuat keputusan memulangkan semua gajinya sebagai menteri bermula Mei hingga Ogos.

Beliau juga telah memohon maaf terhadap kekhilafan tersebut selain turut dikenakan kompaun RM1,000 oleh KKM selepas didapati bersalah mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Hari ini, Jabatan Peguam Negara dilaporkan memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan terhadap Khairuddin setelah didapati tiada keterangan yang kukuh bagi memenuhi beban bukti untuk memulakan pendakwaan di mahkamah.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Langgar kuarantin: AG putuskan tiada tindakan lanjut ke atas Khairuddin