KUALA LUMPUR – Usaha-usaha supaya negara anggota ASEAN memiliki kad markah bagi mengenal pasti pencapaian semasa dalam mengurangkan paras halangan tanpa tarif (NTB) dan pendekatan tanpa tarif (NTM) sedang dijalankan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, usaha untuk mewujudkan kad markah itu adalah mencabar tetapi masih boleh dilakukan kerana jumlah NTB dan NTM sentiasa meningkat.
Setakat ini terdapat 6,000 tempat NTB dan NTM di seluruh Asia.
“Saya baru pulang dari Jakarta (Indonesia) dan telah diberi taklimat oleh Sekretariat ASEAN mengenai usaha-usaha yang telah dan sedang dijalankan untuk mewujudkan kad markah berkenaan.
“Ianya satu langkah yang sukar tetapi masih boleh dilakukan.
“Mereka ada berkongsi dengan saya mengenai cabaran-cabaran tersebut tetapi ia masih di peringkat awal,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan ASEAN Circle di sini hari ini.
Idea mewujudkan kad markad ASEAN itu dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika Sidang Kemucak ASEAN yang lalu.
Beliau berpendapat, setiap negara anggota ASEAN wajar memiliki kad markah bagi mengenal pasti pencapaian semasa dalam usaha mengurangkan paras halangan tanpa tarif dan pendekatan tanpa tarif.
Katanya jika mahu menjadi kuasa besar, ASEAN perlu memastikan nilai dagangan berkembang pada kadar yang disasarkan dan dengan adanya kad markah, setiap negara anggota boleh menentukan langkah perlu diambil untuk mengurangkan NTB dan NTM serta mengenal pasti bila pengurangan dapat dilakukan.- MalaysiaGazetet