Home Nasional Petugas perubatan jangan malu rujuk bantuan psikologi jika tertekan

Petugas perubatan jangan malu rujuk bantuan psikologi jika tertekan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) melahirkan rasa prihatin dengan keadaan kakitangan perubatan yang sentiasa berhubung rapat dengan pesakit positif Covid-19 atau mereka yang diarahkan menjalani kuarantin.

Kakitangan-kakitangan ini mungkin menghadapi trauma psikologi.

Mereka ini mungkin bergelut dengan ketakutan dijangkiti dan mengalami tekanan yang tinggi menyaksikan pesakit yang dijangkiti wabak itu meninggal dunia, kata Presiden MMHA, Prof. Dato’ Dr Andrew Mohanraj.

Keadaan ini boleh mendorong kepada keletihan atau kelesuan emosi.

Ekoran itu, Dr Andrew meminta barisan hadapan ini menerima had-had mereka sendiri serta tidak malu untuk mendapatkan bantuan profesional.

Ini kerana, katanya, kakitangan-kakitangan perubatan juga berdepan dengan boikot sosial dan diskriminasi.

Dr Andrew tidak menolak pandemik Covid-19 telah memburukkan keadaan mana-mana individu yang mempunyai masalah kesihatan mental terutama mereka yang kemurungan dan warga emas yang hidup dalam kesepian dan pengasingan.

Mereka yang dalam keadaan sangat trauma akibat boikot sosial dan diskriminasi ini dikhuatiri membuat keputusan untuk mengakhiri kehidupan mereka.

Krisis ekonomi juga mungkin meningkatkan risiko bunuh diri pada orang tersebut.

Sebilangan besar bunuh diri didahului dengan tanda amaran lisan atau tingkah laku seperti bercakap tentang ingin mati, merasa bersalah atau malu, atau menjadi beban kepada orang lain.

Dr Andrew berkata, individu seperti itu juga mungkin menunjukkan bahawa mereka merasa kosong dan putus asa atau terperangkap dengan kesakitan fizikal atau emosi yang tidak dapat ditahan dan tiada alasan untuk meneruskan kehidupan.

Oleh itu, MMHA menyeru mereka yang memerlukan bantuan boleh menghubungi talian 03-27806803 /017-6133039(WhatsApp) – MalaysiaGazette