Home Politik Rombakan Kabinet hanya spekulasi, jika ada pun mungkin tambah jawatan TPM

Rombakan Kabinet hanya spekulasi, jika ada pun mungkin tambah jawatan TPM

KUALA LUMPUR – Mesyuarat khas Kabinet yang dipengerusikan  oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini tiada kaitan dengan agenda untuk merombak Kabinet seperti mana yang hangat diperkatakan kebelakangan ini. 

Sebaliknya mesyuarat bersama barisan Jemaah Menteri hari ini di Putrajaya sebenarnya fokus kepada penularan  pandemik Covid-19 yang berada pada tahap membimbangkan negara.

Sumber MalaysiaGazette menolak sebarang dakwaan serta spekulasi tentang rombakan Kabinet kerana perkara itu memang tidak berlaku.

“Tidak ada pun cakap-cakap atau rundingan mahupun mesyuarat berlakunya rombakan Kabinet, sebaliknya PM fokus dalam tangani Covid-19 terlebih dahulu.

“Mungkin ada pihak berkepentingan yang sengaja mahu menguar-uarkan spekulasi ini, lagi-lagi dalam keadaan politik negara sedikit huru hara’.

“Mungkin sejak adanya ‘gencatan politik’, sebelum itu titah nasihat YDPA, agenda segelintir pihak itu tidak terjadi,” kata sumber berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan jika berlaku rombakan sekali pun ia bukan hari ini dan hanya melibatkan tambahan lantikan kepada jawatan Timbalan Perdana Menteri seperti kehendak pemimpin parti tertentu.

Kata sumber itu lagi, sememangnya ada beberapa nama pemimpin UMNO yang telah naik untuk jawatan tersebut memandangkan parti itu sudah pun mengajukan cadangan supaya UMNO diberi jawatan itu. 

“Dengan kedudukan serta kerusi Parlimen yang mereka ada, memang permintaan itu juga ‘valid’.

“Tetapi pada masa sama, ada juga permintaan yang mahu jawatan itu diberikan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Ikut logik dan hierarki memang beliau yang sepatutnya diberikan jawatan kedua tertinggi itu

“Tapi ketika ini beliau sendiri sedang berdepan dengan kes perbicaraan rasuahnya di Mahkamah Tinggi, jadi semestinya tidak boleh. Jika Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika ini beliau seorang hanya Ahli Dewan Undangan Negeri, bukan Ahli Parlimen.

“Jika TPM ini hendak diberikan kepada UMNO maka yang adilnya pada masa anda juga perlu mempunyai jawatan dalam parti. Maka ikut hierarki, tempat ketiga ialah Datuk Seri Ismail Sabri, diikuti Tan Sri Annuar Musa.

“Manakala Datuk Seri Hishamuddin pula walaupun tidak berjawatan parti tetapi beliau pula mempunyai sokongan sekurang-kurangnya 19 Ahli Parlimen UMNO. Kita ada tiga calon layak iaitu Ismail Sabri, Annuar Musa dan juga Hishamuddin.

“Di antara mereka ini, Ismail Sabri yang paling layak dan paling ke hadapan kerana sudah berjawatan Menteri Kanan. Jadi seandainya jawatan TPM bakal diberikan kepada UMNO dalam masa terdekat, ianya mungkin milik Ismail Sabri,” katanya menghuraikan teori hierarki dalam parti.

Selain itu, sumber juga memberitahu ada kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-15 akan diadakan sekitar pertengahan Jun tahun hadapan sahaja.

“Jadi memang tidak ada pembubaran Parlimen ketika ini. Tidak ada pertukaran Perdana Menteri mahupun kerajaan juga, baru-baru ini saya dengar cadangan Presiden parti UMNO untuk menyokong Anwar Ibrahim juga hambar.

“Itu juga punca mengapa adanya ‘gencatan politik’.

“Yang pada awalnya sokong juga tetiba buat pusingan U, malah ada juga ada mencadangkan supaya Tok Mat menjadi pengganti sehinggalah kes perbicaraan rasuah Ahmad Zahid selesai.

“Datuk Seri Najib Razak juga tidak mahu kesnya digugurkan  seperti dakwaan segelintir pihak, beliau mahu lawan di mahkamah. Jadi tidak ada persoalan Najib juga akan diberikan jawatan Kabinet selepas kesnya gugur.

“Buat masa ini, hala tuju amat jelas, perangi Covid-19 bantu rakyat itu sahaja. Yang cakap-cakap, spekulasi semua ini tidak membantu. Yang hendak main politik akan terus bermain politik,” ujarnya.

Sementara itu satu sumber lain menyebut, urusan ‘tuntutan’ UMNO belum selesai justeru tidak akan berlaku rombakan Kabinet hari ini.

Katanya, UMNO telah menyuarakan secara tidak rasmi tuntutan-tuntutan mereka dan perkara itu belum dihantar seara kepada Pengerusi Perikatan Nasional iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini kerana semua tuntutan UMNO itu masih belum dibincangkan di peringkat Majlis Tertinggi parti apabila mesyuarat yang sepatutnya berlangsung Selasa minggu lepas di Janda Baik terpaksa ditunda kerana arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya lagi, urusan rombakan Kabinet juga tidak perlu dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk mendapatkan persetujuan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika dihubungi baru-baru ini memberitahu, ada yang mencadangkan supaya diadakan mesyuarat dalam talian, namun ahli-ahli MT berpandangan mesyuarat secara bersemuka adalah lebih bermanfaat.

Selain MT, turut ditangguhkan adalah mesyuarat Muafakat Nasional namun satu kenyataan menyusul Isnin lalu memaklumkan bahawa UMNO dan Pas sepakat untuk mendaftarkan gabungan itu dengan Pendaftar Pertubuhan.

Biro Politik UMNO dalam mesyuaratnya baru-baru ini memaklumkan pertimbangan untuk menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional. Menurut Ahmad Maslan, syarat-syarat baharu akan dikemukakan kepada PN jika kerjasama baharu mahu diteruskan. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.