Home Nasional Guna elektrik secara berhemah – TNB

Guna elektrik secara berhemah – TNB

Menutup suis dan menanggalkan palam peralatan elektrik apabila tidak digunakan.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan pengguna-pengguna agar menggunakan elektrik secara berhemah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menurutnya, berdasarkan perintah untuk bekerja dari rumah lalu, penggunaan elektrik isi rumah mungkin meningkat daripada kebiasaan berikutan lebih masa dihabiskan di rumah.

Berikutan itu, TNB menasihatkan pengguna agar mengamalkan beberapa panduan penggunaan elektrik yang cekap seperti berikut:

1. Matikan komputer dan cabut suis selepas selesai menggunakannya. Sekiranya mengecas komputer riba, matikan suis apabila selesai mengecas;
2. Memastikan semua pintu, tingkap dan lubang edaran udara tertutup rapi ketika menggunakan pendingin hawa supaya hawa sejuk tidak keluar dari bilik. Gunakan kipas bagi membantu menyejukkan hawa bilik agar suhu pendingin hawa dapat dilaraskan lebih tinggi (antara 24 ke 26 darjah Celcius) bagi menjimatkan tenaga;
3. Membersihkan penapis pendingin hawa bagi memaksimumkan proses penyejukan. Penapis yang kotor menghalang aliran udara dan mengurangkan kecekapan pendingin hawa;
4. Mengelakkan mencuci pakaian menggunakan air panas, melainkan sekiranya perlu dan menggunakan mesin basuh dengan muatan penuh;
5. Mengurangkan penggunaan pengering pakaian. Ambil kesempatan cuaca panas untuk mengeringkan pakaian secara semulajadi;
6. Menutup suis dan menanggalkan palam peralatan elektrik apabila tidak digunakan serta tidak membiarkan peralatan elektrik seperti kipas dibiarkan terpasang di dalam bilik yang kosong;
7. Sekiranya mandi menggunakan alat pemanas air, kurangkan tempoh mandian;
8. Sekiranya ingin menggunakan seterika, himpunkan baju dan gosok sekaligus kerana ia lebih menjimatkan elektrik; dan
9. Bagi mereka yang menggunakan ketuhar elektrik, elakkan daripada kerap membuka pintu ketuhar ketika memasak bagi memastikan suhu ketuhar stabil. Memasak pelbagai hidangan serentak juga lebih menjimatkan.

Syarikat tenaga itu berkata, pengguna akan terus menikmati Diskaun Rangsangan Ekonomi sehingga 50 peratus untuk penggunaan elektrik bulanan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.

Inisiatif kerajaan yang memberi manfaat kepada lebih 7 juta pengguna kediaman ini diteruskan bagi membantu rakyat menyesuaikan diri dengan pemulihan semula ekonomi negara ketika ini. – MalaysiaGazette