Home Nasional Darurat Covid-19: Tiada lagi politiking, tumpu bendung pandemik

Darurat Covid-19: Tiada lagi politiking, tumpu bendung pandemik

Petugas Kementerian Kesihatan melakukan persiapan dengan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) sebelum menjalankan tugas pemeriksaan saringan bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sebuah Flat Pelangi, Damansara. foto MOHD ADZLAN, 22 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan darurat disifatkan sebagai pendekatan terbaik jika tujuannya untuk memerangi wabak itu.

Dengan pengisytiharan itu, ia memberi kelebihan kepada Malaysia untuk membendung penularan koronavirus dan memulihkan ekonomi negara secara serius tanpa diganggu-gugat oleh isu-isu politik.

Tokoh sejarah negara, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, jika benar ia berlaku, maka Muhyiddin perlu menjelaskan bagaimana kerajaan ini akan berfungsi nanti.

“Adakah negara akan melantik badan pengurusan seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang diwujudkan pada tahun 1969 atau kaedah lain. Muhyiddin perlu menjelaskan.

“Tetapi secara asasnya, apabila pengisytiharan darurat (Covid-19) dilaksanakan, maka badan pengurusan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong akan memberi sepenuh perhatian dan komitmen untuk memerangi koronavirus termasuk usaha-usaha memulihkan ekonomi negara serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurutnya, apabila darurat diisytiharkan, maka tiada pilihan raya awal.

Oleh itu, tiada isu politik atau politiking.

Tiada perebutan kuasa kecuali memberi fokus kepada Covid-19, katanya lagi.

Ditanya bagaimana pelantikan pengurusan negara akan dibuat, Ramlah tidak menolak kemungkinan barisan Kabinet sedia ada diserap semula atau pelantikan baharu dalam kalangan Ahli-Ahli Parlimen atas persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

Pemilihan ini perlu mendapat perkenan baginda.

Mengulas mengenai  Bajet 2021, Ramlah berkata, jika darurat maka tidak ada pembentangan.

Apabila tiada pembentangan maka tidak ada perbahasan dan perdebatan bajet kerana peruntukan perbelanjaan diputuskan mengikut keperluan pentadbiran dengan diperkenankan oleh  Yang di-Pertuan Agong.

“Jadi, tidak timbul isu bantahan daripada pihak pembangkang atau parti-parti politik kerana tidak ada perbahasan, tidak ada keperluan menolak atau membantah sebab negara diurus oleh pentadbiran bukan lagi Jemaah Kabinet,” ujarnya. – MalaysiaGazette