Home Utama Darurat jalan terbaik bendung Covid-19, tangani gegak-gempita politik

Darurat jalan terbaik bendung Covid-19, tangani gegak-gempita politik

Dr. Shamsul Amri Baharuddin

KUALA LUMPUR – Majoriti tipis, undi tidak percaya dan kekalutan pembentangan Bajet 2021 yang bakal dihadapi oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta ditambah cabaran getir penularan wabak getir Covid-19 menjadi faktor-faktor yang mendorong kepada cadangan mengisytiharkan darurat.

Ini kerana, keadaan-keadaan tersebut telah mengundang kekeliruan yang berpotensi menimbulkan kekacauan awam.

Lantaran itu, Prof Ulung, Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, jika benar kerajaan bercadang untuk mengisytiharkan darurat, ia adalah jalan terbaik dalam usaha mententeramkan keadaan rakyat yang bimbang dan gusar dengan penularan pandemik itu.

“Jadi, kalau kerajaan mengutamakan rakyat, darurat adalah penyelesaian paling sesuai untuk mententeramkan keadaan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditanya mengenai ura-ura kerajaan mahu mengisytiharkan darurat.

Walaupun cadangan itu menimbulkan polemik dalam kalangan pemimpin politik, namun ahli akademik itu berkata, Malaysia mempunyai pakar-pakar dan penasihat kesihatan yang mampu meramalkan lebih tepat tentang kadar ancaman Covid-19 negara secara realistik.

”Kita tidak perlu tunggu sampai naik 16,000 kes sehari seperti di Perancis baru nak ambil tindakan.

”Alasan keselamatan dan ketenteraman awam sudah mencukupi untuk mengisytiharkan  darurat,” ujarnya sambil memaklumkan ini bukan kali pertama negara mengisytiharkan darurat.

Sebaliknya, dalam sejarah, Malayasia sudah lima kali mengisytiharkan darurat sama ada di seluruh negara atau negeri-negeri tertentu.

Ditanya mengenai kritikan ahli-ahli politik yang menyifatkan cadangan kerajaan ini adalah alasan dangkal yang tidak dapat meyakinkan rakyat, Dr Shamsul Amri menambah, kalau kita fikirkan politik, sudah pasti yang sinis akan menyatakan darurat ini akan menguntungkan Perikatan Nasional.

”Sayangnya fikiran ahli-ahli politik ini langsung tidak memberi pertimbangkan keadaan rakyat, tetapi lebih memberi keuntungan peribadi dan kuasa ahli-ahli politik.

‘Sedangkan, kalau pemimpin politik mengutamakan rakyat, maka darurat paling sesuai demi mententeramkan keadaan,” tegasnya.

Ujar beliau lagi, dari segi politik memang secara kebetulan kedudukan kerajaan di Parlimen seperti telur dihujung tanduk.

”Majoriti tipis. Bajet 2021 harus dibentang pada 6 November, dengan cabaran undi tidak percaya. Suasana politik suspen ini juga kalau digabung dengan Covid-19 boleh menyebabkan kekacauan awam.

”Tambahan pula Pilihan Raya Kecil Batu Sapi mesti diadakan Disember ini dan Pilihan Raya Sarawak selewa-lewatnya Jun 2021.

”Berasaskan pengalaman di Sabah sebarang perhimpunan besar dan pergerakan besar-besaran rakyat, seperti mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 kalau diadakan, memudahkan Covid-19 memuncak dan boleh menggugatkan keselamatan rakyat.

“Maka daruratlah boleh menyelesaikan kedua-dua situasi ini,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Ahli politik, kalau kena Covid 19, dapat kelas 1 perubatan, rakyat marhain dapat kelas 3. Kuarantin VIP pun lain dengan rakyat biasa.

  2. Apa kata kita himpunkan semua ahli politik ni pastu suntik dorang dgn virus convid.. Baru padan muka.

Comments are closed.