KUALA LUMPUR – Langkah Yang di-Pertuan Agong (YDPA )Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah membawa cadangan-cadangan yang telah dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada rundingan Raja-Raja Melayu adalah satu langkah yang tepat dan kena pada masanya.
Tindakan ini menunjukkan Yang di-Pertuan Agong telah melaksanakan tugasnya dengan tertib dan betul apabila mengambil kira pandangan Raja-Raja Melayu dalam pentadbiran negara.
Pakar Sejarah, Prof. Datuk Dr Ramlah Adam yang gembira dengan situasi ini menunjukkan bahawa Raja-Raja Melayu telah kembali mendapat kuasa mereka setelah tidak dipedulikan sebelum ini.
Beliau menjelaskan, walaupun Raja-Raja Melayu tiada peranan dalam Parlimen tetapi Yang di-Pertuan Agong adalah wakil daripada Majlis Raja-Raja Melayu di dalam Parlimen.
Oleh itu, melibatkan Raja-Raja Melayu dalam rundingan tersebut adalah bagi mendapatkan perkenan pendapat dan pandangan mereka dalam pentadbiran negara secara dasar.
“Ia selaras dengan lima peranan Majlis Raja-Raja Melayu iaitu memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong; perkenan atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan,amalan atau upacara agama meliputi seluruh Persekutuan; melantik anggota-anggota Mahkamah Khas; memberi ampun,tunda hukum dan lega hukum atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman-hukuman ke atas seseorang dan melantik seorang wakil untuk menganggotai Majlis Angkatan Tentera dan Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka.
“Saya gembira kerana fungsi-fungsi sebenar Raja-Raja Melayu yang selama ini dipinggirkan terutama semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dikembalikan. Ketika itu Perdana Menteri terlalu berkuasa.
“Disebabkan itu, peranan Raja-Raja Melayu tidak berfungsi dengan betul selepas era pentadbiran Dr Mahathir.
“Dan, kali ini kuasa itu perlu dikembalikan kerana Perdana Menteri sekarang sudah tidak mendapat sokongan dan kerajaan sekarang lemah,” jelasnya sambil menambah situasi semasa menunjukkan Majlis Raja-Raja mengatasi Parlimen.
Disebabkan hilang sokongan itu, katanya, Perdana Menteri tidak boleh memutuskan apa-apa keputusan berhubung cadangan daripada Mesyuarat Kabinet Khas semalam dan perlu dirujuk semula kepada Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai bidang kuasa besar pada ketika ini.
Mengulas mengenai isu darurat, Ramlah secara peribadi berkata, wabak Covid-19 ini lebih besar implikasinya kerana membabitkan nyawa dan keselamatan rakyat seluruh negara.
Berbanding dengan darurat pada tahun 1969, keadaan itu hanya untuk menangani rusuhan kaum yang sebahagian besarnya melibatkan Selangor dan Kuala Lumpur sahaja.
“Sekarang musibah lagi besar, lantaran itu darurat dilihat satu keperluan, selain turut dapat ‘menggantung’ kuasa-kuasa politik bagi mengelak menganggu-gugat proses memerangi Covid-19,” ujarnya.
Beliau percaya Yang di-Pertuan Agong seorang bijaksana untuk menangani isu ini dengan berhemah.
“Saya percaya baginda ada banyak cara untuk melakukannya apabila menerima pandangan daripada Raja-Raja Melayu yang lain,” katanya. – MalaysiaGazette