Home Ekonomi Bank Islam lanjutkan bantuan pembayaran bersasar sehingga 30 Jun 2021

Bank Islam lanjutkan bantuan pembayaran bersasar sehingga 30 Jun 2021

Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) ingin menegaskan bahawa ia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan sebuah laman sesawang penjualan saham palsu dan tidak akan menggunakan kaedah atau platform pelaburan sedemikian untuk mendapatkan pelaburan orang ramai dalam saham BIMB.

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) melanjutkan tempoh bantuan pembayaran bersasar sehingga 30 Jun tahun depan.

Bantuan pembayaran bersasar itu ditawarkan kepada individu yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan bulanan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, bagi pelanggan yang tidak terkesan akibat kehilangan pekerjaan atau pengurangan gaji namun masih memerlukan bantuan, Bank Islam menyediakan pilihan penjadualan dan penstrukturan pembayaran pembiayaan.

“Kami sedar terdapat pelanggan yang mungkin terus mengalami tekanan aliran tunai ekoran pandemik yang sedang melanda dan memerlukan sokongan tambahan bagi membolehkan mereka menguruskan keadaan kewangan dengan lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Muazzam, sehingga kini, kadar kelulusan permohonan bagi bantuan pascamoratorium untuk pelanggan perniagaan adalah hampir 100 peratus.

Manakala, bagi pelanggan runcit, Bank Islam telah meluluskan 100 peratus daripada jumlah permohonan yang lengkap dengan dokumen sokongan, yang mana 43 peratus kelulusan untuk penangguhan selama tiga bulan dan baki 57 peratus lagi adalah kelulusan di bawah pelan pengurangan ansuran selama enam bulan. – MalaysiaGazette