Home Nasional PKPB: Institusi pendidikan di Sabah ditutup sehingga 9 November

PKPB: Institusi pendidikan di Sabah ditutup sehingga 9 November

Keputusan mengejut yang dibuat pada pagi Ahad  mengakibatkan ibu bapa panik kerana tidak membuat persediaan khususnya perlu meminta kebenaran untuk merentas negeri terlebih dahulu sebelum mengambil anak-anak di sekolah berasrama di negeri lain.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Semua institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) termasuk tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, Kolej Vokasional, dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di Sabah akan terus ditutup sehingga 9 November 2020.

Menurut KPM, pentadbir sekolah serta institusi pendidikan diarah memastikan guru-guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar terus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

“Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah yang dijadual berakhir esok dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 9 November ini.

Ismail Sabri berkata, perkara berkenaan diputuskan  dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas meneliti perkembangan semasa penularan Covid-19 di negeri itu. – MalaysiaGazette