Home Utama Sultan Perak terakhir tiba di Istana Negara, 8 Raja Melayu mula bersidang

Sultan Perak terakhir tiba di Istana Negara, 8 Raja Melayu mula bersidang

Kenderaan yang membawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tiba bagi menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Melayu di Istana Negara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menjadi Raja Melayu terakhir yang tiba di Istana Negara hari ini.

Kenderaan rasmi yang membawa baginda tiba pukul 2.30 petang bagi menghadiri pertemuan khas antara Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bersama Raja-Raja Melayu.

Raja Melayu yang pertama tiba adalah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada pukul 1.30 tengahari diikuti Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Seterusnya, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Tidak kelihatan, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Mesyuarat bagi membincangkan beberapa cadangan yang dipersembahkan oleh kerajaan terutamanya mengenai penularan pandemik Covid-19.

Ia dijadualkan bermula pada pukul 2.30 petang dan hanya akan melibatkan Raja-Raja Melayu dan tidak akan melibatkan Yang di-Pertua Negeri atau mana-mana ahli politik.

Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah tiba di Istana Negara kira-kira pukul 12.30 tengah hari. – MalaysiaGazette